Sabtu,26 Julai 2014

Gandingan pengalaman

FAITO Motobert Racing meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan pelumba berpengalaman, Ahmad Fuad Baharudin dan Ahmad Fazrul Sham untuk mencatat kejayaan pada Pusingan Kedua Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas 2012 di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Terengganu, bermula hari ini.

Memasuki tahun kedua, pasukan yang dikendalikan bekas pelumba, Rosnizam Mohd Noor itu percaya kombinasi Fuad dan Fazrul mencerahkan peluang mereka mencatat kejayaan dengan lebih pantas dalam kategori CP130 berbanding pelumba kurang berpengalaman seperti yang berlaku musim lalu.


Ia terbukti apabila Fuad berada dalam kelompok barisan depan sewaktu perlumbaan pusingan pembukaan di Batu Kawan. Malangnya, masalah teknikal jentera menjadi halangan kepada juara Expert/CP130 dua kali (2002 dan 2009) itu untuk menaiki podium dan hanya sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Masalah sama menimpa Fazrul namun nasibnya lebih malang apabila terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.


“Perlumbaan CP130 begitu kompetitif dan bagi pelumba muda, mereka memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri melainkan jika mereka benar-benar mempunyai bakat dan kebolehan luar biasa. Sebab itulah kami memilih menggunakan pelumba senior musim ini.


“Fuad dan Fazrul mempunyai pengalaman dan kemahiran diperlukan untuk membantu kami membangunkan pasukan ini dengan lebih cepat kerana dapat memberikan maklumat tindak balas jentera kepada mekanik pasukan dengan tepat. Ini memudahkan tugas mekanik mendapatkan pelarasan terbaik.

“Selain itu, kedua-dua pelumba mempunyai tahap kekuatan mental yang mantap. Contohnya seperti ditunjukkan Fuad. Di sebalik masalah teknikal dihadapi, dia tetap memberikan aksi terbaik dan masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Jelas dia bukan seorang pelumba yang mudah berputus asa di litarsewaktu berlumba,” kata Rosnizam.


Ditanya mengenai sasaran di Terengganu, Rosnizam berkata, walaupun prestasi mereka agak baik di Batu Kawan, pasukan itu perlu realistik dalam meletakkan sasaran pada perlumbaan akan datang. “Lagipun, sebelum ini kebanyakan pasukan belum memperoleh pelarasan terbaik untuk jentera mereka dan saya tidak terkejut jika kali ini mereka lebih pantas. Berbanding untuk mengejar kemenangan, kami lebih mengharapkan agar dapat konsisten dan pada masa sama, cuba naik podium,” katanya.

Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/13
`