Khamis,21 Ogos 2014

Gempa Bumi Aceh: Semua pelajar Malaysia selamat

JAKARTA: Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter awal pagi tadi yang menggoncang pusat bandar Banda Aceh, turut mengejutkan pelajar-pelajar Malaysia di situ yang sedang nyenyak tidur, namun mereka semua dilaporkan selamat dalam peristiwa itu.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta yang juga Setiausaha Satu Education Malaysia di Indonesia, Ludinata Misnun, berkata sejurus selepas kejadian, Biro Kebajikan, Keselamatan dan Kediaman Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Aceh menghubungi semua pelajar Malaysia terbabit dan meminta mereka menyelamatkan diri.

Mereka diminta pergi ke tempat tinggi bagi mengelakkan ancaman tsunami, bagaimanapun selepas pihak berkuasa menarik balik amaran tsunami, mereka kembali ke kediaman masing-masing, katanya dalam kenyataan di sini.

Gempa bumi yang berlaku pada pukul 1.36 pagi itu, berpusat di lautan di 419km Barat Daya Meulaboh, Aceh dan kesan gegarannya dirasai sampai ke Medan, Sumatera Utara. Ia kemudian disusuli dengan beberapa gempa susulan.


Sementara itu, Ludinata berkata semua pelajar Malaysia di Medan juga selamat dalam peristiwa gempa bumi itu.


Maklumat yang diperoleh daripada seorang anggota jawatankuasa Kelab Umno Medan ialah sebahagian besar pelajar Malaysia di Medan tidak menyedari kejadian gempa bumi itu kerana gegaran yang agak lemah di bandar Medan.

Seramai 206 pelajar Malaysia sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Aceh manakala pelajar Malaysia di Medan berjumlah 1,620 orang.

Sehingga ini belum ada laporan tentang kerosakan pada harta benda atau korban jiwa daripada peristiwa gempa bumi itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/11
`