Isnin,14 Julai 2014

Gempa di Aceh

Lampahan (Indonesia): Satu gempa bumi sekuat 6.1 magnitud melanda Aceh semalam dan mengorbankan lima orang serta mencederakan puluhan yang lain.

Sejumlah bangunan turut musnah, suasana panik melanda penduduk setempat yang pernah mengalami gempa bumi dan tsunami besar pada 2004.


Gegaran itu berlaku pada jam 3.37 petang (waktu Malaysia) dengan pusat gempa terletak hanya 10 kilometer di bawah tanah di kawasan pergunungan di daerah Bener Meriah di tengah Aceh.

Kemusnahan rumah berlaku di daerah yang berada kira-kira 320 kilometer dari Banda Aceh. Doktor di sebuah klinik awam di Lampahan, Ema Suryani berkata, seorang kanak-kanak terbunuh akibat dihempap dinding bangunan yang runtuh.

“Kami menerima kira-kira 50 orang yang cedera kerana bangunan mereka runtuh akibat gegaran itu,” katanya. Daripada jumlah itu, kata Ema, 30 parah dengan sesetengahnya cedera di kepala.

Selebihnya, Ema berkata, mengalami kecederaan ringan seperti luka kecil dan calar.


“Mangsa dibawa untuk rawatan menaiki dua lori dari beberapa kampung,” katanya. Sementara itu, penduduk Banda Aceh dan Medan bertempiaran lari ke luar bangunan apabila binaan itu dirasakan bergegar. Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, gegaran itu dapat dirasakan dengan kuat selama kira-kira 15 saat.

“Orang ramai panik dan segera berlari ke tempat terbuka untuk menyelamatkan diri,” katanya.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/02
`