Khamis,31 Julai 2014

Gubahan ringkas, mudah dibawa

Oleh Hartini Mohd Nawi

NILAI keindahan semula jadi yang terletak pada bunga-bungaan segar membuatkan ia sering menjadi pilihan dalam pelbagai situasi.

Sinonim dengan aura harmoni dan menyegarkan, kehadirannya amat penting terutama sebagai penyeri ruang.

Tidak dinafikan bunga- bungaan segar membuatkan pelbagai penyelidikan mengaitkannya dengan kehidupan manusia.

Menurut pengkaji Diana Relf, sesetengah individu boleh berkomunikasi dengan lebih baik apabila berada berhampiran bunga-bungaan atau tumbuhan segar.

Foto

ILHAM SENI...gubahan bunga di atas penutup bakul anyaman.

Foto

PERLU TELITI...teknik gubahan yang betul penting.

Foto

TETAP BERSERI...penjagaan gubahan penting supaya menarik sepanjang masa.

Foto

KREATIF...kuntuman dicantumkan untuk gubahan unik.

Foto

AURA HARMONI...kombinasi bunga-bungaan segar yang tampak sesuai.

Foto

TARIKAN...gubahan bunga segar juga sesuai dalam menyerikan bakul cenderahati.


Kajian juga membuktikan ruang meja dihiasi elemen hiasan itu juga boleh mendorong seseorang untuk makan dalam kuantiti yang banyak.


Sementara kajian pada 1996 pula menunjukkan jika sebuah rumah atau pejabat yang dihiasi dengan bunga-bungaan atau tumbuhan segar berupaya mengurangkan tekanan darah dan denyutan nadi penghuninya.

Pastinya kemeriahan Aidilfitri lebih bermakna apabila elemen hiasan khususnya bunga-bungaan segar diketengahkan.

Dalam kesibukan itu kunjungan ke rumah terbuka tentunya bermula hari ini.

Anda yang kreatif boleh menghasilkan sendiri hamper raya dijadikan buah tangan ketika berkunjung ke rumah terbuka.

Bukan sekadar itu, kehadiran hamper atau bakul yang berisi kuih raya di atas meja memberikan tarikan tersendiri kepada tetamu apabila ia diserlahkan dengan gubahan ringkas bunga segar.

Penggunaan bunga ros dan pom-pom antara yang popular selain menjadikan yellow peacock, purple peacock serta casphia sebagai penyerinya.

Kali ini, Sugar & Spices Florist tampil berkongsi idea gubahan hamper dan bakul kuih raya yang diserikan dengan bunga-bungaan segar.

Pemiliknya Lily Rahman berkata, setiap gubahan yang dihasilkan itu lebih memberikan kepuasan apabila dihasilkan sendiri.

“Ini kerana setiap daripada kita mempunyai idea dan kreativiti unik tanpa perlu meniru rekaan atau sentuhan orang lain.

“Paling penting gubahan itu sememangnya tampil ringkas, mudah dibawa dan senang digantikan jika berlaku insiden bunga layu,” katanya.

Lily berkata, reka bentuk bekas atau kotak kuih-muih yang diletakkan dalam hamper dan bakul juga penting supaya kreativiti mengubah bunga berjalan lancar.

“Pilihan bekas atau bakul yang diisi pelbagai kuih perlu menarik, eksklusif dan berbeza.

“Ini kerana pelbagai reka bentuk bakul ada di pasaran dan memerlukan kepekaan anda ketika membuat pilihan.

“Penggunaan bakul anyaman juga mempunyai tarikan luar biasa dan secara tidak langsung memperlihatkan nilai estetika yang ada padanya,” katanya.

Gubahan ringkas bunga-bungaan segar bebas diselitkan pada sudut menarik bakul berkenaan.

Sentuhan seni bunga segar pada bahagian penutup bakul anyaman pula ternyata menzahirkan idea unik dan membanggakan.

“Dari segi pilihan bunga pula jenis yang mudah digubah, mempunyai warna menarik dan tahan lasak atau tidak cepat layu perlu dijadikan kriteria.

“Teknik gubahan yang betul juga bukan sekadar menampilkan keindahan malah memberikan kepuasan kepada penggubahnya,” katanya yang mewarisi bakat gubahan
bunga daripada arwah ibunya.

Uniknya gubahan bunga yang ringkas itu juga boleh diselenggara jika perlu termasuk menyemburkan sedikit air untuk memberikan lebih kesegaran.

“Apabila ia digubah ringkas dan kecik, mudah untuk anda mengalihkannya ke tempat lain ketika proses penyiraman.

“Anda perlu peka dengan sebarang perubahan gubahan jika ia berada di meja makan atau ruang tamu.

“Gantikan dengan gubahan ringkas yang baru jika bunga sedia ada mula layu atau kurang berseri,” katanya.

Menariknya Sugar & Spices Florist menyediakan perkhidmatan gubahan untuk pelbagai majlis termasuk perkahwinan, hari jadi dan ulang tahun.

Berminat sila layari facebook sugarNspices florist atau emel ke sugar_n_spices_florist@yahoo.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/24
`