Sabtu,12 Julai 2014

Henti suntikan untuk hamil

SAYA sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun empat bulan. Saya berusia 29 tahun dengan berat 51 kilogram dan tinggi 163 sentimeter.

Selepas melahirkan anak dua tahun lalu, saya mengamalkan suntikan perancang kehamilan iaitu suntikan setiap tiga bulan yang diambil di klinik swasta.

Saya bercadang untuk menghentikan pengambilan suntikan terbabit kerana mahu hamil.

Selepas berhenti mengambil suntikan itu, berapa lama tempoh yang biasa diperlukan untuk kembali hamil? Apakah persediaan yang terbaik sebelum kembali hamil?


NOR NADIA,

Sungai Besi, Kuala Lumpur



ADA pengguna suntikan depo yang hamil dalam tempoh tiga bulan saja apabila suntikan itu dihentikan. Namun, kebanyakan wanita yang menggunakan kaedah suntikan ini hamil lebih lewat lagi iaitu selepas enam bulan suntikan dihentikan iaitu secara purata selepas sembilan hingga 10 bulan suntikan depo dihentikan.

Sebelum memulakan kehamilan, seeloknya seseorang bersedia bukan saja dari segi kesihatan fizikal malah juga kesihatan mental, emosi dan kewangan.

Pengambilan pemakanan berkhasiat mengikut keperluan kalori yang sesuai serta pil asid folik sebanyak sekurang-kurangnya 400 mikrogram setiap hari sekurang-kurangnya sebulan sebelum itu juga penting.

Walaupun berat badan anda masih ideal, namun ia berada menghampiri julat bawah bagi kategori ideal (50.5 - 66 kilogram).

Sekiranya kehamilan dan kelahiran terdahulu mempunyai komplikasi, eloklah juga anda mendapatkan pemeriksaan doktor perbidanan sebelum hamil semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/04
`