Sabtu,26 Julai 2014

Hidangan enak percuma

IBU bapa kini mempunyai alasan kukuh meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak pada hujung minggu dengan membawa mereka menikmati hidangan enak secara percuma.

Restoran Makan Kitchen di Hotel DoubleTree by Hilton Kuala Lumpur menyediakan promosi minum petang dan makan malam percuma sepanjang April untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Menyediakan pengalaman sebenar masakan Malaysia, terdapat tiga dapur interaktif yang menyediakan 150 hidangan tempatan popular terdiri daripada masakan Melayu, Cina, India peranakan, Portugis Melaka dan Iban. Antaranya sajian tradisi masyarakat Iban Sarawak, Manuk Pansuh iaitu ayam dimasak di dalam buluh, masakan campuran daripada Portugis Melaka, kari ayam dan beriani kambing.

Terdapat pelbagai gerai menyediakan hidangan sampingan seperti dim sum, itik panggang, pelbagai mi dan laksa, ikan bakar, sate dan tandoori.


Restoran yang boleh memuatkan 350 orang pada satu-satu masa itu juga menawarkan bilik khas bagi mereka yang ingin mengadakan majlis kecil seperti sambutan hari jadi atau makan bersama rakan dan keluarga tanpa sebarang caj tambahan.


Bagi ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak, mereka boleh menempatkan mereka di sudut khas dengan keseronokan permainan seperti seni kraftangan pasir dan pemberian belon sementara menunggu minum petang atau makan malam tamat.

Untuk makan tengah hari, hidangan bermula daripada RM59++ seorang dan makan malam pada RM79++ seorang. Pada hujung minggu, Makan Kitchen menyediakan hidangan minum petang dengan lebih 60 jenis sajian tradisi kegemaran rakyat Malaysia pada harga RM49++ .

Restoran Makan Kitchen mendapat pengiktirafan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Untuk tempahan, sila layari www.makan-moments.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/12

Artikel Lain

`