Rabu,03 September 2014

Hidup gelandangan di tengah kota

DI KOTA metropolitan Kuala Lumpur, golongan ini mudah dilihat. Ibarat burung pulang ke sarang, apabila malam menjelma sekitar jam 11 malam kelihatan susuk tubuh tanpa mengira usia dan jantina membentangkan sekeping kotak, beralaskan sehelai surat khabar dan berbantalkan lengan menjadikan kaki lima jalan sebagai tempat beradu.

Datanglah hujan atau kilat sabung-menyabung, namun semua ini langsung tidak dapat menukar pemikiran mereka untuk beralih kepada kehidupan normal seperti orang lain. Jika dilihat pada usia, ada yang masih muda malah mempunyai kudrat untuk bekerja. Namun, di manakah silapnya sehingga mereka memilih untuk berumah di tepi jalan dan di bawah bangunan?

Kawasan tertentu sekitar ibu negara menjadi tempat berkeliaran golongan gelandangan ini. Kawasan yang menjadi tumpuan mereka ialah Hentian Puduraya, Kompleks Daya Bumi, kompleks Kotaraya dan kawasan lapang perhentian bas di Jalan Tun Tan Cheng Lock. Rata-rata mereka mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang tidak bekerja disebabkan tidak berpelajaran, sering ditipu dan mempunyai keyakinan yang sangat rendah.

Persoalannya, adakah mereka lebih selesa dengan kehidupan sebegini kerana tidak perlu memikirkan soal makanan kerana semuanya disediakan atau ini menunjukkan taraf kemiskinan penduduk di bandar semakin meningkat?


Bagi lelaki mungkin ini perkara biasa, bagaimana pula gelandangan wanita yang tidur seorang diri di kaki lima bangunan. Adakah keselamatan mereka terjamin?


Tinjauan penulis di sekitar Kotaraya dan belakang Chow Kit, jumlah wanita walaupun tidak seramai lelaki, tetap membimbangkan. Apatah lagi mereka ini ibu tunggal, ditinggalkan suami atau belum berkahwin. Ada antaranya membawa anak kecil yang masih belum mengerti apa-apa.

Ketika membuat tinjauan di sekitar Kotaraya dan Chow Kit, wakil daripada Pertubuhan Tindakan Islam Malaysia (Pertiwi) sedang mengagihkan 600 bungkus makanan sumbangan syarikat kewangan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kepada semua gelandangan tanpa mengira usia dan kaum.

Bermula di kawasan sekitar Chow Kit dengan hampir separuh makanan diberi, kemudian beralih di sekitar Kotaraya. Bagaikan pesta apabila masing-masing menunggu dengan sabar. Sebaik makanan ada di tangan tanpa segan silu mereka membuka bungkusan dan makan di tepi jalan.

Penulis menghampiri seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an, di sebelahnya terdapat beg pakaian yang hampir lusuh, sambil makan dia menundukkan wajah tanda tidak mahu didekati. Selepas dipujuk wanita ini mengalah. Hanya mahu dikenali sebagai Rozie, dia mengaku terpaksa menjadi kutu rayau kerana tidak diterima keluarga.

“Saya penagih dadah sebab itu tidak tinggal di rumah. Di mana kaki melangkah di situlah menjadi tempat perhentian saya. Biasanya kaki lima bangunan sekitar Chow Kit ini menjadi rumah saya. Tipu jika saya katakan tidak takut apabila tidur seorang diri, tapi lama kelamaan kami saling mengenali antara semua gelandangan.

“Bagi lelaki mereka langsung tidak mengganggu wanita malah menjaga keselamatan kami,” ujarnya perlahan.

Sambung Rozie, bukan dia tidak pernah cuba berhenti menagih malah dua kali keluar masuk pusat serenti, tetapi masih sama, apabila keluar dia menagih semula. Oleh kerana tidak bekerja dia sering meminta duit ibu bapa untuk membeli dadah menyebabkan dia dimarahi keluarga.

“Saya pernah mencuri duit ibu semata-mata untuk membeli dadah, tidak tahan dileter saya keluar rumah dan balik semula jika tiada wang,” katanya.

Dia memberitahu memerlukan duit untuk membeli dadah. Makan minum tidak menjadi masalah kerana setiap malam makanan disediakan percuma.

“Saya sudah tidak tahan hidup sebegini. Bukan saya tidak cuba keluar daripada penagihan dadah, tetapi sangat sukar. Saya juga ada keinginan seperti orang lain, tinggal di rumah bersama keluarga tetapi entahlah saya sendiri tidak pasti bagaimana perjalanan hidup saya akan datang,” katanya dalam nada bersungguh sambil mengesat air mata.

Bagi Hamidah, 21, (bukan nama sebenar) disebabkan kesempitan hidup, dia terpaksa menjadi gelandangan sejak tiga tahun lalu. Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia lima tahun mengakui bukan dia tidak ingin hidup normal seperti orang lain namun dia tidak mampu.

“Sejak ditinggalkan suami saya hilang tempat bergantung. Tambah pula saya tiada pekerjaan tetap dan hanya mengharap belas ihsan orang ramai. Jika menyewa siapa yang akan membayar sewa rumah, bil api dan air. Sebab itu saya sangat berterima kasih kepada mereka yang memberi makanan percuma pada setiap malam, sekurang-kurangnya kami tidak kelaparan,” katanya.

Dia bersama kakak angkatnya, Mazidah, 38, (bukan nama sebenar) turut menjadi gelandangan dan bermalam di kawasan sekitar kaki lima Kotaraya. Kehidupan mereka mudah, pakaian disimpan di tempat simpanan barang milik sebuah pasar raya di situ. Apabila ingin membersihkan badan mereka mencari bilik air yang terletak di sebuah hotel murah di kawasan sekitar.

Tanpa sebarang kerenah birokrasi, golongan ini diberikan kemudahan untuk menyimpan barang dan mandi tanpa dikenakan bayaran.

“Kami sudah biasa, lagipun ramai gelandangan melakukannya. Biasanya kami tidak tidur dan berbual sepanjang malam. Hanya anak-anak lena tidur di atas riba manakala kami berbual sehingga ke pagi,” kata Mazidah yang sudah berpisah dengan suami empat tahun lalu.

Apabila hujan, dia bersama Hamidah mencari tempat berteduh biasanya di bawah kaki lima bangunan. Walaupun hidup tidak terurus, kedua-dua wanita ini menghantar anak mereka ke sekolah tadika berhampiran.

“Pada jam 8.30 pagi, kami menghantar mereka ke sekolah dan mengambil jam 12 tengah hari. Dalam waktu senggang itu saya dan Hamidah menjual barang terpakai di pasar. Dapatlah duit belanja RM20 yang dapat digunakan untuk makan tengah hari. Barang ini kami beli dengan harga murah daripada peniaga yang tidak habis menjual barang mereka di pasar kemudian kami jual semula,” kata Mazidah yang mempunyai anak berusia enam tahun.

Dia yang berasal dari selatan tanah air ini memberitahu, dulu dia pernah bekerja tetapi sering kali ditipu majikan.

“Pernah saya tidak diberi gaji bulanan. Akhirnya saya mengalah dan berhenti begitu saja. Saya serik untuk bekerja lagi kerana bimbang ditipu,” ujarnya.

“Mengapa tidak pulang ke kampung kerana mungkin kehidupan lebih baik daripada sekarang,” soal saya apabila memikirkan keselamatan wanita.

“Memang pernah ada keinginan itu, tetapi jika kami pulang ke kampung ibarat menjerat leher sendiri. Saya tidak mahu menyusahkan keluarga terutama ibu bapa.
Saudara- mara juga orang susah dan ada tanggungjawab sendiri. Selama ini mereka tidak pernah tahu kedaifan saya kerana tidak tidak mahu keluarga susah hati,” katanya.

Munirah Hamid daripada Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) mempunyai pandangan berbeza mengenai gelandangan. Dia yang sering memberikan makanan percuma kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur menerusi Pertiwi Soup Kitchen memberitahu makanan yang diedarkan adalah atas dasar kemanusiaan dan tidak mahu melihat mereka kelaparan.

“Sesiapa juga apabila lapar dan tidak mempunyai duit untuk membeli makanan pasti tidak dapat tidur lena. Lebih buruk apabila ada antaranya melakukan jenayah seperti mencuri atau merompak semata-mata untuk mengisi perut,” katanya ketika mengagihkan makanan kepada gelandangan di sekitar Kotaraya.

Menurut Munirah, masalah gelandangan adalah sesuatu yang sukar diselesaikan kerana bagi mereka ia isu sensitif. Ini kerana kebanyakan mereka datang dari kampung dijanjikan pekerjaan tetapi akhirnya hampa. Ada pula pernah ditipu sehingga mereka berasa serik dan tidak percaya kepada undang-undang. Akhirnya mereka berterusan dalam dunia mereka sendiri disebabkan mereka sendiri tidak mahu berubah.

“Gelandangan sama seperti orang lain ada hati dan juga perasaan. Siapa yang tidak mahu memiliki keluarga dan hidup seperti orang lain. Masalahnya golongan ini tidak mampu kerana mereka langsung tidak berduit. Ada pula anak yang tidak mempunyai sijil pendaftaran.

“Keadaan ini menimbulkan ketakutan buat mereka bimbang sekiranya ditangkap pihak berkuasa kemudian dimasukkan ke dalam lokap,” katanya.

Menurut Munira, ramai orang menyalahkan gelandangan kerana mereka tidak mahu bekerja, tetapi berapa ramai yang mahu memberikan pekerjaan kepada golongan ini. Mungkin pada yang benar-benar berkelayakan saja, tetapi bagaimana bagi yang langsung tidak berpelajaran, penagih dadah atau pernah melakukan kesalahan lain, tentu sukar untuk mereka bersama-sama dalam masyarakat.

“Memang sukar memahami jiwa mereka. Pada saya buatlah apa saja kerana mereka memang begitu, sukar untuk berubah dan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Apa yang cuba dilakukan Munirah bersama rakan daripada badan bukan kerajaan lain adalah mendapatkan bantuan makanan untuk diberikan kepada gelandangan.

“Pada saya senang saja, apabila perut mereka terisi ini dapat menghalang mereka daripada melakukan jenayah. Mereka akan tidur lena dan begitulah rutin harian mereka,” katanya.

Pertiwi Soup Kitchen memberikan makanan percuma pada setiap malam Ahad, Isnin, Rabu dan Jumaat di kawasan sekitar Chow Kit, Kotaraya, Masjid Jamek dan kawasan yang ramai dihuni gelandangan. Van ini bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

Pada malam itu, hampir 600 bungkus makanan diedarkan kepada gelandangan tanpa mengira kaum. Sejumlah 350 bungkus adalah daripada Pertiwi manakala selebihnya daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan kewangan.

“Tugas kami hanya menyampaikan makanan daripada badan kerajaan serta orang perseorangan yang ingin menghulurkan sumbangan kemudian kami agihkan secara sama rata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/08/04

Artikel Lain

`