Jumaat,19 September 2014

Ibu hamil alami sakit bawah perut

SAYA berusia 26 tahun dan kini hamil anak ketiga. Usia kandungan baru sebulan lebih.

Saya mengalami sakit di bawah perut sebelah kanan yang teramat sangat.
Sekiranya saya baring ataupun duduk, rasa kesakitan semakin kuat. Saya risau memandangkan saya tidak pernah mengalami perkara sebegini pada kandungan pertama dan kedua dahulu.


Saya juga sudah merujuk masalah ini ke hospital kerajaan dan klinik kesihatan yang terdekat tetapi pegawai perubatan memaklumkan ini perkara biasa dan tidak melakukan apa-apa pemeriksaan.

Adakah perkara ini sesuatu yang biasa dan sakit normal bagi tempoh awal kehamilan?

FRIDA AMBIE,
Shah Alam, Selangor




SAYA kurang pasti kawasan ‘bawah perut’ yang anda maksudkan. Saya membuat andaian ia di bahagian bawah kawasan abdomen dan di tengah-tengah iaitu di kawasan ari-ari (lebih dikenali sebagai kawasan supra-pubik).

Apabila seseorang mengadu kesakitan di sesuatu kawasan, lazimnya doktor akan memeriksa kemungkinan berpunca daripada organ yang terletak di kawasan itu.

Contohnya di kawasan ari-ari, terdapat pundi kencing di bahagian hadapan, rahim di bahagian tengah dan sebahagian usus besar di bahagian belakangnya.
Jangkitan pundi kencing antara perkara yang paling berkemungkinan untuk berlaku dan ia perlu dirawat.

Ujian air kencing dapat membantu mengesan jenis kuman yang ada serta jenis ubat yang sesuai atau tidak sesuai. Pada masa sama, bahagian rahim (serta kandungan) juga diperiksa.

Kehamilan bukanlah suatu penyakit. Sewaktu kehamilan, wanita akan mengalami beberapa perubahan fizikal dan secara fisiologi, tetapi bukan sehingga menyebabkan kesakitan sewaktu hamil.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/08
`