Ahad,13 Julai 2014

Iktibar dari Tanah Suci

Oleh Muhd Izawan Baharin

SEORANG lelaki dilihat berjalan perlahan-lahan sambil mengagih beberapa cawan kecil berisi air zamzam kepada jemaah yang sedang menunggu azan Zuhur.

Sebaik habis cawan diambil jemaah, lelaki yang mungkin berasal dari Turki itu sekali lagi ke tong zamzam berdekatan dan mengisi beberapa cawan lagi untuk diberikan kepada jemaah lain.

Di satu sudut lain, seorang lelaki berkongsi kurma yang disedekahkan orang lain kepadanya. Sambil tersenyum dia memberi seorang sebiji kurma kepada jemaah berada dekat dengannya.

Ketika azan berkumandang, seorang lelaki pula dilihat memberi sejadah dibawanya kepada jemaah dari negara berlainan ketika dia bersedia untuk solat di luar kawasan berkarpet.

Foto

SUMBANGAN...Mior Kamarul Shahid (kiri) menyampaikan sumbangan wang kepada Mohammad Amin sambil diperhatikan penceramah agama, Drs Sapawi Che Mat.

Foto

SIBUK....jemaah berkumpulan di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah sementara menunggu masuk waktu solat.

Foto

TAWAR MENAWAR...peserta program Umrah NSTP sedang tawar menawar harga kurma yang dijual di ladang kurma di Madinah.

Foto

LUAS...replika Masjidil Haram yang bakal siap menjelang 2020 yang dipamerkan di Muzium Mekah.

Foto

AL-QURAN TERAWAL...salinan awal Mushaf Othmani dipamerkan di Muzium Mekah.

Foto

TAPAK MASJID HUDAIBIYAH...jemaah yang mengikuti sebuah agensi pelancongan mendengar sejarah mengenai Masjid Hudaibiyah.


Begitu pemandangan setiap kali menjelang solat wajib di Masjidil Haram, Makkah. Tanpa mengira bangsa, bahasa, kaya atau miskin, mereka yang hadir di bumi penuh berkat itu akan sedaya upaya membantu saudara seagama walau dari mana mereka datang.


Keindahan kasih sayang sesama Islam itu menjadi antara pengalaman manis 135 kakitangan New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan keluarga yang menyertai ibadat umrah bermula 27 Mac hingga 6 April lalu.

Turut menyertai program umrah anjuran NSTP kali kedua itu ialah Pengarang Urusan e-media NSTP dan Ketua Jabatan Media Baru Media Prima, Datuk Zainul Ariffin Mohamed Isa, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail bersama keluarga masing-masing.

Selain menunaikan umrah dan mengikuti program ziarah, jemaah NSTP turut mendapat peluang melawat Muzium Makkah, ladang unta, kilang kelambu Kaabah dan pasar tamar.

Jemaah NSTP turut menyam­paikan sumbangan dan berkenalan dengan pengasas serta pengetua Madrasah Tahfiz al-Quran, Maahad Abdullah bin Mosoud di al-Misfalah, kira-kira satu kilometer dari kota Makkah.

Penolong pengetua maahad itu, Mohammad Amin Jafar Al Hafiz berkata, dia bersyukur kerana maahad tahfiz yang berusia 26 tahun itu sering menerima bantuan.

“Alhamdulillah, tidak seperti mula-mula penubuhannya dulu, pengasasnya terpaksa mengikat perut serta membina sendiri bangunan demi mendidik anak-anak pelarian Rohingya menjadi hafiz al-Quran.

“Kini, hasil ihsan jemaah yang datang, kami mampu mendidik kira-kira 1,000 pelajar berusia antara enam hingga 17 tahun yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak pelarian Myanmar,” katanya.

Jemaah NSTP berada di kota Makkah dan Madinah selama 10 hari bagi menunaikan ibadat umrah tetapi memang benar kata-kata mereka yang pernah menjejak kaki ke tanah suci, apabila pulang ke kampung halaman, perasaan rindu untuk kembali ke bumi penuh rahmat itu sentiasa berbisik di hati.

Alangkah bahagia hidup jika kasih sayang tanpa mengira warna kulit, bahasa pertuturan atau status kehidupan yang dirasai dan disaksikan di kota Mekah serta Madinah terus subur di tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/12
`