Rabu,24 September 2014

Isteri kuat rajuk

SAYA berusia 32 tahun dan mempunyai isteri yang lebih muda. Umurnya 20 tahun dan usia perkahwinan kami baru dua tahun.

Tidak dinafikan, dia manja dan pandai mengambil hati saya. Itu yang menyebabkan saya sudi menerimanya meskipun beza usia kami jauh. Sebenarnya, saya mengenali isteri ketika dia di bangku sekolah sebaik saya bertugas mengajar di sekolah yang sama.

Saya akui pemalu dengan perempuan dan tidak dinafikan isteri yang menegur serta mengutus surat cinta dulu menyebabkan saya terima cintanya.

Pada mulanya saya kurang berkenan tetapi saban hari dia menghantar surat kepada saya, menyebabkan saya mulai serius. Tidak sangka, akhirnya saya melamar dan kami berkahwin.


Meskipun isteri saya dikategorikan pelajar nakal dan bermasalah, perilaku dia berubah sebaik kami berkahwin. Namun dalam saya melayari bahtera perkahwinan, satu sikap isteri yang kurang saya senangi ialah dia gemar melayani rakan, terutama kenalan lelaki.


Memang tidak dinafikan ada di kalangan rakannya saya kenal tetapi perasaan tidak selesa tetap wujud kerana isteri pernah menjalin hubungan cinta dengan mereka.

Pernah saya nasihatkan dia tetapi balasan diterima ialah rajuk dan kehilangan kerana dia akan lari ke rumah orang tuanya tidak jauh dari rumah sewa kami.

Segan saya dengan orang tua disebabkan kerenahnya yang ‘kurang masak’ sering melarikan diri daripada rumah membuatkan keluarga mentua menggeleng kepala tatkala melihat sketsa rumah tangga kami. Kadangkala datang sesal kerana mempunyai isteri muda dan tidak matang.

Malah, dulu ibu saya kurang senang dengan tindakan saya mengahwininya kerana khuatir saya tidak berupaya mengawalnya. Saya serba salah tapi di sudut hati, saya berharap isteri boleh mengubah perlakuannya.

BADRI
Ipoh, Perak




Melihat permasalahan saudara, teringat Dang Setia kisah Rasulullah SAW dan isterinya Saidatina Aisyah RA yang jauh lebih muda. Dalam satu riwayat baginda, Aisyah menceritakan Rasulullah pernah berlumba lari dalam merapatkan hubungan mereka.

Aisyah bercerita: “Dalam perjalanan bersama rombongan, Rasulullah menyuruh kumpulan itu bergerak dulu. Ketika itu aku masih gadis ramping, baginda memanggilku dan mencabar untuk berlari. Aku memenanginya. Selang beberapa tahun mengikuti dalam rombongan lain dan aku sudah gemuk, sekali lagi baginda mencabarku, kali ini dia memenanginya dan mengatakan kepadaku ia adalah untuk menebus kekalahan lalu.”

Relevan cerita berkenaan dalam permasalahan saudara ialah saudara perlu bijak menangani perilaku isteri yang jauh lebih muda. Perhatikan rentaknya dan teliti suasana sesuai untuk membincangkan masalah rumah tangga.

Tidak dinafikan, tindak-tanduk isteri berhubung dengan lelaki lain adalah salah, tetapi saudara perlu tahu pendekatan terbaik dalam menasihatinya.

Lupakan seketika peranan saudara sebagai guru kerana bimbang tindakan saudara terhadapnya menjurus peranan seorang guru berbanding suami.

Secara tidak langsung, ia membuatkan isteri jauh hati kerana cara saudara tegur dirinya sama sekali tidak disenanginya.

Dalam situasi ini, luahan emosi dimasukkan elemen rayuan lebih berkesan berbanding pendekatan bebelan mahupun kata-kata marah yang nyata membuatkan isteri melayan rajuk sehingga melarikan diri ke rumah mentua.

Gunakan kebijaksanaan untuk mendatangkan rasa penyesalan serta bersalah berbanding terus menerus memarahinya.

Padanya, mungkin tindakan berbual dengan rakan sebaya tidak bermaksud apa-apa kerana saudara mengenalinya, menyebabkan dia kurang menjaga perasaan saudara.

Perbincangan adalah pendekatan terbaik supaya si isteri memahami perasaan cemburu dialami dan saudara pula berpeluang menegur isteri dalam keadaan tenang.

Tugas mendidik isteri bukan perkara mudah dan perlu dilakukan dengan penuh kesabaran. Jangan sesekali membenarkan sesalan kerana ia membuatkan hubungan saudara serta isteri bertambah ampuh.

Imbas kenangan manis ketika bersama dan sesekali cuba lagak romantis atau bergurau supaya isteri berasa terpujuk meskipun baru ditegur.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/01

Artikel Lain

`