Sabtu,30 Ogos 2014

Jambori bukti komitmen Sutama

Oleh KASDI ALI

Dianggap antara jamboree terbaik pada tahun ini membuktikan komitmen Kelab Berbasikal Saujana Utama (Sutama) dalam menganjurkan Jambori Sutama Cyclo MTB 2013 edisi sulungnya, baru-baru ini.

Disertai lebih 1,300 peserta dari beberapa negeri, Jambori Sutama Cyclo MTB 2013 berjaya memikat hati peserta bukan sahaja pada aspek cabaran laluan, malah sikap profesional setiap warga kerja terutama marsyal.

“Saya sudah menyertai beberapa jambori pada tahun ini dan tidak keterlaluan jika saya katakan ia adalah yang terbaik setakat ini. Bermula dengan pendaftaran sehingga berakhir jambori, segalanya dilakukan secara profesional.

“Perkara paling menarik mengenai jambori ini ialah, ia tidak menekankan aspek saingan merebut kemenangan semata-mata. Sebaliknya ia sesuai disertai semua lapisan masyarakat terutamanya yang masih baru dalam aktiviti berbasikal,” kata Zainul Pajri Puasa, 39.

Foto

LALUAN berbatu dan ‘off road’ memerlukan skil keseimbangan badan dan mengendalikan gear.

Foto

MEREDAH laluan hutan memberi cabaran tersendiri buat peserta Sutama Cyclo MTB Jamboree 2013.

Foto

ANTARA peserta yang berjaya menamatkan perlumbaan.


Peserta daripada Kelab Berbasikal Kastam ini berkata, biarpun tidak berada dalam senarai 10 peserta terbaik, dia gembira kerana tujuan penyertaannya untuk berseronok bersama rakan-rakan seperjuangan.


Kata bapa kepada tiga anak dari Pulau Indah, Klang ini, berbanding beberapa jambori disertainya, penganjur Jambori Sutama Cyclo MTB 2013 memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan peserta.

“Ia dibuktikan dengan pengambilan 250 orang marsyal yang ditempatkan di setiap pos pemeriksaan demi memastikan tiada peserta terpesong laluan atau menunggang melebihi kelajuan sepatutnya bagi mengelak kemalangan.

“Apa yang menarik, penganjur turut menyediakan beberapa tempat berehat khas untuk peserta merokok dan ia sesuatu yang baru membuatkan jambori ini begitu santai sekali,” katanya yang menggunakan basikal jenis Specialized.

Sementara itu, bekas atlet taekwondo negara, Soo Lai Yin, 38, berkata, berkayuh basikal lasak memberikannya pengalaman baru kerana baru membabitkan diri dalam aktiviti berbasikal lasak kira-kira tiga bulan lalu.

“Berbanding beberapa sukan lasak pernah disertai, berbasikal bukit berbeza kerana ia memerlukan stamina tinggi untuk melakukannya. Saya baru membabitkan diri dalam aktiviti ini kira-kira tiga bulan lalu selepas ajakan kawan-kawan.

“Saya jatuh cinta pandang pertama ketika kali pertama mengayuh basikal bukit sebelum membeli sebuah basikal jenis Specialized. Bagi saya, aktiviti ini sesuai dilakukan bersama ahli keluarga atau rakan-rakan,” katanya yang menetap di Semenyih.

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Asia 1998, pingat emas dan gangsa di Sukan Sea 1999 serta 2001 dalam kategori featherweight itu, dia teruja pada penyertaan sulungnya di jambori.

“Ini kali pertama saya menyertai jambori dan biarpun tidak mendapat 10 tempat terbaik, saya gembira kerana berjaya menamatkan kayuhan.

“Bagi saya, jambori ini sungguh mencabar kerana menampilkan laluan ‘off-road’ melalui kawasan kelapa sawit. Biarpun kepenatan, saya tidak sabar untuk menyertai jambori pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, pengurus jambori, Hizam Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada peserta yang majoriti berpuas hati dengan penganjurannya.

Katanya, berdasarkan sambutan menggalakkan ini, pihaknya merancang menjadikan ia sebagai acara tahunan dengan mengekalkan konsep sama iaitu mesra alam dan pada masa sama melakukan penambahbaikan perkara-perkara berkaitan.

“Kelab Berbasikal Saujana Utama mengambil kesempatan menganjurkan Sutama Cyclo MTB Jamboree 2013 melihat kepada aktiviti berbasikal bukit yang semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan lasak di negara in.

“Jambori basikal bukit ini lebih berkonsepkan program pertemuan pengayuh basikal dari seluruh negara untuk bersama-sama menghayati keindahan alam dengan melalui laluan serta denai sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh,” katanya.

Menurutnya lagi, apa yang menarik, jambori ini menyediakan laluan khas untuk mereka yang baru membabitkan diri dalam aktiviti berbasikal (beginner) sehingga ke peringkat pertengahan (intermediate).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25