Jumaat,25 Julai 2014

Jantung bengkak lemah

KITA sering mendengar istilah jantung bengkak. Keadaan ini selalunya dikesan selepas seseorang itu menjalani ujian sinar-X dada.

Ia mungkin dikesan kebetulan di mana seseorang itu cuma menjalani ujian kesihatan saringan atau ada masalah lain daripada jantung atau mungkin dikesan terhadap seseorang yang mengalami gejala atau simptom disebabkan masalah jantung bengkak.

Masalah jantung bengkak dinamakan ‘dilated cardiomyopathy’. Ia keadaan di mana jantung menjadi lemah dan besar dan akibatnya tidak dapat mengepam cukup darah ke seluruh badan.

Simptom masalah ini ialah seseorang pesakit mengalami penat atau susah bernafas. Pada permulaannya, kesukaran bernafas terjadi ketika seseorang individu itu bekerja berat atau bersenam tetapi lama kelamaan ia menjadi lebih serius sehingga menyebabkan sukar bernafas ketika rehat.


Pesakit juga boleh mengadu susah bernafas apabila baring terlentang atau terpaksa bangun secara tiba-tiba di tengah malam kerana penat. Pesakit jantung bengkak juga boleh mengalami bengkak kaki dan kembung perut disebabkan pengumpulan air di bahagian itu.


Ada beberapa sebab jantung menjadi bengkak dan lemah. Faktor utama ialah penyakit arteri koronari yang menyebabkan serangan jantung atau ‘myocardial infarction’.

Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan bahagian otot jantung yang terbabit tidak berfungsi atau menjadi parut. Keadaan ini akan menjejaskan fungsi jantung keseluruhannya.


Faktor penyebab lain:

  • Masalah injap jantung

  • Radang otot jantung atau ‘myocarditis’.

    Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti jangkitan virus, penyakit ‘autoimun’ seperti SLE atau ubat tertentu

  • Post-partum cardiomyopathy – jantung bengkak ketika atau selepas bersalin

  • Idiopathic – tiada sebab spesifik yang dapat dikesan

  • Alkohol


    Sebab lain jantung bengkak:

  • Ischaemia (aliran darah yang tidak memadai ke sebahagian tubuh akibat pengecutan atau penyekatan pembuluh darah yang membekalkannya)

  • Toksin - Ethanol, kokain, amphetamine (ubat simpatomimetik yang mempunyai kesan merangsang nyata ke atas sistem saraf pusat), plumbum, merkuri, karbon monoksida dan beryllium

  • Ubatan - Agen kemoterapi, doxorubicinn (antibiotik digunakan terutama dalam rawatan leukemia dan pelbagai bentuk kanser lain), bleomycin (antibiotik yang ada tindakan menentang sel kanser), 5-Fluorouracil, zidovudine, didanosine, zalcitabine, phenothiazines, chloroquine dan radiasi

  • Pelbagai sebab lain - Peripartum cardiomyopthy, takikardia (kenaikan kadar denyutan jantung lebih daripada normal), sarkoidosis, familial cardiomyopathies, sleep apnea, autoimmune myocarditis dan lebih kalsium

  • Kekurangan nutrisi, Tiamin, selenium dan carnitine

  • Keabnormalan endokrinologi - Hipokalsemia (kehadiran kepekatan klorida terlalu rendah dalam darah), hypophosphatemia, uremia (kehadiran urea dan sebatian buangan bernitrogen lain dalam darah dalam jumlah berlebihan)

  • Kecelaruan endokrinologi - Kekurangan atau terlebih hormon tiroid, kekurangan atau terlebih hormon tumbesaran dan kencing manis

  • Penyakit saraf-otot - Distrofi muskular Duchenne’s, distrofi miotonik (berhubungan dengan otot tonus)

  • Penyakit reumatisme (sakit otot dan sendi) - Lupus sistemik, scleroderma (pengerasan dan pengecutan tisu perantara tubuh yang berterusan) dan sel gergasi arteritis (sejenis penyakit inflamasi membabitkan dinding berotot arteri)


  • Penyakit berjangkit

    > Virus — virus coxsackie, sitomegalovirus (virus dalam kumpulan herpesvirus menyebabkan gejala sederhana), HIV, varisela (cacar air) dan hepatitis
    > Bakteria — demam tifoid, difteria (jangkitan akut yang sangat berjangkit) dan bruselosis (demam akibat jangkitan bakteria bawaan haiwan ternakan)

    > Penyakit Lyme

    > Parasit

    Jika pesakit disyaki mengalami masalah jantung bengkak, ujian yang dijalankan ialah echocardiogram atau ultrasound jantung. Dengan ujian ini, fungsi jantung dan injap dinilai lebih tepat. Ujian lain ialah MRI imbasan jantung yang boleh menilai fungsi jantung dengan tepat.

    Apabila diagnosis jantung bengkak dibuat, beberapa jenis ubat boleh diberi kepada pesakit. Rawatan ini untuk jangka masa panjang atau sepanjang hayat.

    Jika dengan ubatan optimum pesakit masih mengalami masalah susah bernafas atau cepat penat, alat khas dinamakan ‘biventricular pacemaker’ boleh dipasang untuk membantu mengurangkan simptom dan merendahkan risiko kematian.

    Persoalan sama ada jantung bengkak akan kembali normal bergantung kepada faktor penyebabnya. Contohnya, satu pertiga atau 30 peratus daripada pesakit jantung bengkak yang berkait dengan kehamilan akan pulih.

    Sebaliknya, jantung bengkak kerana serangan jantung atau ‘myocardial infarction’ biasanya kekal kerana bahagian serangan jantung menjadi tisu parut. Ubatan sepanjang hayat penting untuk mengawal ia tidak bertambah teruk.

    Dalam artikel akan datang, saya akan menerangkan jenis penyakit otot jantung lain iaitu ‘hypertrophic cardiomyopathy’ atau dinding jantung tebal. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus ke e-mel zulcardio@gmail.com

    Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/25
  • Artikel Lain

    `