Sabtu,20 September 2014

Jatuh talak satu dalam marah

Saya dan suami berkahwin pada Januari 2009, tetapi akhir tahun itu berlaku pergaduhan besar antara kami sehingga saya secara tidak sengaja meminta suami menceraikan saya.

Dalam keadaan marah, suami saya berkata: “Okay aku ceraikan kau dengan talak satu.” Perkara itu berlaku di rumah dan ketika itu tiada sesiapa menjadi saksi, melainkan kami berdua.

Adakah jatuh talak dan apakah status kami sekarang? Sebelum ini kami ada bertanya hal berkenaan kepada saudara-mara dan mereka mengatakan tidak jatuh talak kerana ketika itu tiada saksi. Sehingga sekarang kami masih tinggal serumah dan pernah melakukan hubungan intim.

Alia

Perak

Kata-kata suami yang jelas (sarih) seperti di atas menyebabkan jatuh talak satu. Dengan kata lain talak jatuh apabila suami melafazkan talak secara jelas terhadap isteri walaupun tanpa saksi dan keadaan marah yang biasa. Saksi yang ada sebagai bukti saja.

Bagaimanapun, untuk lebih jelas dan muktamad dalam perkara ini, ia perlu dilaporkan kepada Mahkamah Syariah. Apabila laporan dibuat, pihak mahkamah akan menyiasat dakwaan dengan meminta anda dan suami memberikan keterangan.

Selepas itu mahkamah akan memutuskan sama ada jatuh talak atau tidak. Seterusnya pihak mahkamah akan memutuskan status perkahwinan anda, sama ada boleh berlaku rujuk atau sebaliknya.

Pada pandangan saya, berlaku rujuk dalam kes di atas apabila anda berdua masih tinggal bersama. Cuma semuanya tiada rekod rasmi cerai dan rujuk anda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/11
`