Khamis,10 Julai 2014

Jengkaut elak nahas terbalik

Melaka: Seorang pemandu jengkaut nyaris maut apabila jentera berat dipandunya terhumban ke dalam parit ketika cuba mengelak penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan akibat kemalangan di Jalan Kandang, Kandang, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.20 pagi menyebabkan jengkaut berkenaan terbalik, namun pemandunya terselamat.


Menurut pemandu jengkaut terbabit, Mohd Rafi Jalil Teng, 27, dia dalam dalam perjalanan ke pusat bandar selepas melakukan kerja di sekitar Telok Mas.

Katanya, sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal memotong jentera dipandunya sebelum bertembung sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan.


“Pertembungan itu menyebabkan seorang daripada mereka terbaring di tengah jalan di laluan saya, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga emas jatuh ke laluan bertentangan.


“Saya yang terkejut terus menekan brek sambil memaut stereng ke kiri mengakibatkan jentera dipandu terbalik dan terperosok ke dalam longkang,” katanya.

Katanya, ketika jentera hampir terbalik, dia sempat berpaut pada tempat duduk dan stereng bagi mengelakkan diri cedera. Menurutnya, dia tidak terjun menyelamatkan diri ketika jentera berkenaan terbalik kerana bimbang dihempap.


“Saya bersyukur kerana tidak cedera dan dapat mengelak daripada merempuh penunggang motosikal berkenaan. Kedua-dua penunggang motosikal cedera dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
`