SAN FRANCISCO: Steve Jobs yang kesakitan dan terlalu lemah untuk mendaki tangga beberapa minggu sebelum kematiannya, mahukan anak-anaknya memahami mengapa dia jarang di samping mereka, kata pengarang biografinya, Walter Isaacson.
“Saya mahu anak saya mengenali saya,” kata Jobs seperti yang dipetik oleh calon Anugerah Pullitzer, Isaacson, ketika dia bertanya kepada pengasas bersama Apple Inc itu mengenai keputusannya untuk menghasilkan biografi yang mendedahkan segala kehidupannya setelah sekian lama menjalani kehidupan secara tertutup.
“Saya jarang di samping mereka. Saya mahu mereka tahu kenapa dan memahami apa yang saya lakukan,” kata Jobs kepada Isaacson pada wawancara mereka yang terakhir di kediaman Jobs di Palo Alto, California.
Menurut Isaacson, dia mengunjungi Jobs untuk kali terakhir beberapa minggu lalu dan mendapati dia dalam kesakitan di kamar tidur tingkat bawah rumah itu.
Jobs berpindah ke bilik berkenaan kerana dia terlalu lemah untuk turun naik tangga.
“Namun, pemikirannya masih tajam dan masih mampu untuk berjenaka,” kata Isaacson dalam tulisannya untuk Time.com.
Jobs meninggal dunia Rabu lalu pada usia 56 tahun akibar barah pankreas.
Pemimpin negara di seluruh dunia, pesaing perniagaan dan peminat memberi penghormatan kepada lelaki yang bertanggung menyumbang kepada kehidupan seharian berjuta-juta orang menerusi komputer Macintosh, iPod, iPhone dan iPad.
Jobs bergelut dengan masalah kesihatan tetapi tidak banyak menceritakan mengenai penyakit barah yang dihidapnya sejak menjalani pembedahan pada 2004.
Apabila meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada Ogos lalu dan menyerahkan tugas itu kepada Ketua Operasi syarikat, Tim Cook, Jobs hanya berkata, dia tidak dapat menjalankan tugasnya lagi sebagai Ketua Eksekutif.
Apple juga tidak mendedahkan cerita mengenai kematian Jobs secara terperinci tetapi hanya berkata, dia dikelilingi oleh isterinya, Laurene dan keluarga terdekatnya.
Jobs mempunyai empat anak menerusi dua perkahwinannya.
Urusan pengebumian tidak didedahkan. Pegawai di Sacramento berkata, majlis pengebumian mungkin diadakan secara tertutup. - Reuters
PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, ...