Jumaat,25 April 2014

Jom Nyanyi

Oleh Norhadiani Baharom

JULUNG kalinya, ‘booth’ Rap (Rentak Artis Popular) yang menjalankan aktiviti pertandingan Metro Idol, Gadis Metro dan Meet & Greet bersama artis terkenal di Karnival Gegaria Harian Metro 2011 (KGHM2011) sebelum ini, memperkenalkan ‘Jom Nyanyi’ Santai untuk pengunjung yang ingin melepas gian menyanyi sekali gus mempamerkan bakat mereka.

‘Jom Nyanyi’ Santai diwujudkan bukan untuk dipertandingkan sebaliknya aktiviti ini khusus buat pengunjung yang gemar menyanyi dan merasai pengalaman membuat persembahan di ‘booth’ Rap yang menjadi medan kunjungan artis-artis tempatan mempromosikan filem dan album mereka.

Bayaran yang dikenakan untuk satu lagu hanya RM2. Peserta hanya dibenarkan menyanyi dua lagu untuk satu sesi bagi membenarkan pengunjung lain mendapat peluang menyanyi. Aktiviti bermula esok, dari jam 10 pagi hingga 2.30 petang.

Pengarah Projek KGHM2011, Ahmad @ Salim Bachok berkata, idea mengetengahkan Jom Nyanyi itu dicetuskan ekoran permintaan tinggi daripada pengunjung yang gemar berkaraoke.


“Metro Idol adalah pertandingan karaoke yang sudah lama di wujudkan dalam penganjuran karnival ini tetapi ia terhad kepada 30 penyertaan terawal untuk memastikan perjalanan program bermula dan berakhir dalam jangka waktu ditetapkan.


“Justeru, ramai pengunjung yang datang dari jauh tidak berkesempatan menyertainya. Atas sambutan menggalakkan terhadap aktiviti karaoke ini kami wujudkan Jom Nyanyi sebagai acara suka-suka buat pengunjung.

“Objektifnya, untuk memberi pengalaman kepada pengunjung membuat persembahan untuk hiburan semua. Ia juga boleh dimanfaatkan oleh mereka yang minat menyanyi tetapi keberatan menyertai Metro Idol kerana mempunyai masalah gementar memasuki pertandingan.

“Tidak mustahil, bertitik tolak daripada acara ini mereka yang berbakat mampu mengembangkan sayap nyanyian memandangkan pengunjung kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya. Paling penting, kami mahu semua pengunjung terhibur,” katanya.

Keseluruhan pengisian program ‘booth’ Rap sepanjang dua hari penganjuran karnival itu, akan diisi dengan pertandingan Pencarian Gadis Metro dan Metro Idol yang cukup popular.

Pendaftaran Metro Idol yang hanya mengenakan bayaran RM20 dibuka seawal jam 10 hingga 11 pagi ini. Seramai 10 atau lebih peserta (bergantung kepada keputusan juri) yang mengambil bahagian dalam pertandingan Metro Idol akan dipilih ke final yang diadakan esok, jam 4.30 petang.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua (RM300) dan ketiga (RM200) manakala pertandingan ala ratu cantik, Gadis Metro menawarkan hadiah wang tunai RM250 untuk juara, RM150 (naib juara) dan RM100 (tempat ketiga).
Pendaftaran pertandingan ini dibuka hari ini bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Menyerikan aktiviti ‘booth’ Rap, tentunya sesi ramah mesra di antara artis dan pengunjung yang membabitkan Alyah, Kat Mentor, kumpulan One Nation Emcees dan Meet Uncle Hussein sekitar jam 3 petang.

Sebelah malam, akan berlangsung Konsert Gegaria yang dihoskan pelawak dan pelakon, Along Cham bermula jam 9 malam. Artis popular yang membuat persembahan ialah Alyah, Black, Kat Mentor, One Nation Emcee dan kumpulan Meet Uncle Hussein.

Esok, sebahagian artis yang terbabit dalam konsert akan mengambil bahagian dalam sukaneka yang turut dijayakan pengunjung. Program akan diadakan seawal jam 9 pagi.

Sebelah petang pula, aktiviti di booth dihangatkan dengan kemunculan penyanyi rock legenda, Amy Search yang akan mempromosikan Konsert Fenomena - 30 Tahun Search di lokasi seterusnya, Stadium Yunos, Larkin pada 3 Disember dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).

Sehari sebelumnya, Amy berada di Pulau Pinang untuk menjayakan konsert di Stadium Batu Kawan. Turut memeriahkan acara itu, Black yang akan mengadakan kuiz bersama peminat.

KGHM2011 menyediakan pelbagai acara menarik dan memberi peluang kepada pengunjung mengambil bahagian termasuk memenangi hadiah menarik. Tarikan utama tentunya motosikal DV 110 sumbangan Demak Motor yang akan diberikan kepada pengunjung bertuah.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/11/18
`