Jumaat,01 Ogos 2014

Jumpa rangka hangus

Oleh Amir Abd Hamid

KLANG: Penduduk di Taman Desa Baiduri 2, Bukit Kapar, di sini, gempar berikutan penemuan rangka mayat lelaki dipercayai dibakar di ladang kelapa sawit kira-kira 150 meter dari Jalan 1C/KUII, malam tadi.

Rangka lelaki dianggarkan berusia 20-an itu ditemui seorang penduduk yang tercium bau busuk sebelum melaporkannya kepada polis. Kejadian turut menyebabkan seorang guru wanita enggan dikenali yang juga penduduk berkenaan takut disebabkan tinggal berseorangan.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong yang ditemui di tempat kejadian berkata, berdasarkan siasatan awal forensik mendapati mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di ladang sawit itu. “Kami terima panggilan berhubung kejadian jam 6.30 petang oleh seorang lelaki sebelum bergegas di tempat kejadian. Forensik yang tiba dan membuat siasatan mendapati rangka itu milik seorang lelaki berusia 20-an.

“Berdasarkan kedudukan tengkorak, rangka dan keseluruhan tulang mungkin mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di ladang kelapa sawit berdekatan perumahan itu dalam anggaran kejadian tiga minggu lalu,” katanya. Bagaimanapun, katanya, sehingga ini, tiada senjata ditemui.


Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang kehilangan keluarga diminta melaporkan ke balai berdekatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. Tinjauan di lokasi kejadian mendapati pelepah sawit dan tumbuhan di sekeliling rangka hangus terbakar manakala hanya beberapa cebisan kulit mangsa terdapat di bawah rangka berkenaan. Ini kejadian kedua membabitkan kejadian manusia dibakar. Kelmarin, Harian Metro melaporkan kejadian menimpa Muhammad Syahiruddin Mohd Shauki, 20, yang dibakar hidup-hidup sehingga melecur 80 peratus tubuhnya dalam kejadian di Hulu Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/02/29
`