DEMI minat dan semangat ingin berjaya dalam bidang perniagaan yang baru diceburi, dia buangkan rasa malu dengan melakukan tugas sebagai jurujual.
Setiap hari dia melangkah masuk ke jabatan kerajaan dan swasta dengan penuh yakin semata-mata untuk memperkenalkan dan menjual produk keluarannya.
Selepas berhempas-pulas selama hampir 13 tahun, kini Nor' Aini Rusmin, 53, mampu berbangga muncul pengeluar alat tulis pertama milik Bumiputera sepenuhnya di Malaysia. Dibantu suami, Ab Razak Azhari, ibu kepada tiga anak ini memiliki Syarikat Global Factor Sdn Bhd yang memperagakan empat produk iaitu pen mata bulat, papan putih, pen penanda (marker) dan fail jenama Kedidi. "Selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran kini saya berpuas hati dapat bersaing dengan sekurang-kurangnya tiga syarikat bertaraf antarabangsa yang sudah lama bertapak di negara ini. "Tumpuan saya kini adalah untuk terus berusaha memperkenalkan jenama Kedidi yang juga dikenali di negara luar.
"Penat lelah saya kini membuahkan hasil membanggakan walaupun sebelum ini diperkecilkan oleh banyak pihak," katanya yang berpengalaman selama 17 tahun sebagai kakitangan bank di Kuala Lumpur. Nor' Aini berkata, pelbagai cabaran dan dugaan terpaksa dihadapi sepanjang 13 tahun untuk membangunkan syarikatnya itu.
Hanya berbekalkan semangat, dia dapat terus maju dan terus bertapak walaupun pada peringkat permulaan berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Untuk memasarkan produk yang dikeluarkan, dia terpaksa memikul tugas sebagai jurujual dengan menawarkan pelbagai tawaran menarik sebagai galakan.
"Saya pernah hampir menangis dan berputus asa apabila diberi pelbagai alasan oleh pegawai kerajaan yang tidak berminat untuk membeli produk dibawa.
"Disebabkan permintaan yang kurang menggalakkan terhadap jenama Kedidi, saya turut berhadapan dengan masalah ketiadaan jurujual yang berminat menjual barangan saya.
"Berkat doa, kesabaran dan sokongan padu suami akhirnya saya kini boleh berdiri atas kaki sendiri walaupun masih berhadapan dengan beberapa masalah," katanya yang berasal dari Kampung Pandan, Selangor.
Selain memikul tugas promosi dalam dan luar negara, dia juga bertanggungjawab memasarkan produk yang dihasilkan terutama membabitkan agensi kerajaan dan swasta.
Untuk bersaing dengan pengeluar lain dia terpaksa menggunakan pelbagai cara sihat seperti memperkenalkan kelebihan yang ada pada produknya.
Sebagai contoh, marker yang dihasilkan mampu bertahan selama enam jam sekiranya pengguna terlupa menutupnya, selain matanya boleh ditukar dan dakwat mampu ditambah.
Selain pasaran dalam negara, Nor' Aini berkata, produknya kini sudah berada di beberapa negara seperti Mesir, Singapura, Lubnan dan Dubai.
"Dalam usaha memastikan barangan keluaran saya dapat terus kekal dan diterima pengguna, saya sentiasa mementingkan kualiti dan sentiasa berusaha mengeluarkan produk baru setiap tahun. "Untuk memperluaskan lagi bidang perniagaan alat tulis ini, tahun ini saya akan mengeluarkan lapan produk baru yang dijangka mendapat sambutan menggalakkan pengguna," katanya.
Menurutnya, tawaran harga berpatutan dengan pelbagai pakej menarik termasuk konsep jimat yang diperkenalkan juga berupaya menggalakkan pasaran. Untuk memperluaskan lagi perniagaan yang diusahakan dia akan terus melakukan promosi ke seluruh negara dengan bantuan agensi kerajaan berkaitan.
Nor' Aini berkata, kilangnya yang terletak di Pusat Pertumbuhan Desa Kampung Soi, Kuantan menggunakan 10 tenaga kerja tempatan membabitkan lima mesin.
Selain menggunakan bahan mentah keluaran tempatan, dia turut mengimport dari Jepun dan Jerman bagi mengekalkan kualiti yang ditetapkan kerajaan.
"Saya bersyukur dengan sokongan agensi kerajaan berkaitan, perniagaan saya mampu bertahan hingga ke hari ini walaupun pada satu peringkat saya memang kecewa.
"Saya berbangga dapat memartabatkan bangsa Melayu dalam bidang perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa," katanya yang akan terus berusaha mengembangkan perniagaan ke seluruh dunia.
PUTRAJAYA: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilapor di Selangor bagi tempoh 12 hingga 18 Feb, ...