Sertai komuniti myMetro

login|daftar
Khamis, 23 Februari 2012

KLPFF kutip dana Viva Palestina

Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BERTAHUN lamanya kita mendengar dan hanya mampu melihat kesengsaraan rakyat Palestin akibat menjadi mangsa kekejaman Israel tanpa dapat mendalami situasi sebenar penderitaan mereka.

Pada 4-6 Februari ini, sempena Pesta Filem Kuala Lumpur Palestin (KLPFF), beberapa filem berkisar isu kemanusiaan yang sekian lama melanda rakyat Palestin bakal ditayangkan secara percuma selama tiga hari berturut-turut di Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion, Kuala Lumpur.

Buat julung kalinya, acara dianjurkan Viva Palestina Malaysia (VPM) itu satu daripada usaha murni bagi mengutip dana konvoi Viva Palestina 6 Lifeline to Gaza yang dijangka akan dijalankan sekitar pertengahan tahun ini.

Pengerusi VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin ketika ditemui pada sidang media pelancaran KLPFF, baru-baru ini berkata, sejak ditubuhkan pada Januari 2009, VPM tidak pernah jemu membantu nasib masyarakat Palestin termasuk menyuntik dana berjumlah RM1 juta bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk bantuan perubatan, pendidikan, pembiayaan kewangan mikro serta projek untuk wanita Palestin.


“Untuk menimbulkan kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kesengsaraan mereka ini, KLPFF diadakan buat julung kalinya bagi penonton merasai sendiri pergolakan di Palestin menerusi 15 tayangan berasingan.


“Selain menghiburkan, penonton juga bakal melihat satu dimensi baru betapa perjuangan mereka tidak pernah berpenghujung dan rela mati daripada diperhambakan tentera Israel.

Tayangan yang akan bermula pada jam 11.30 pagi, 4 Februari itu bakal menyajikan lima filem hebat arahan pembikin filem antarabangsa termasuk Budrus (Julia Bacha), Tears of Gaza (Vibeke Lokkeberg), Waltz with Bashir (Ari Folman), Abu Jamil Street (Stephane Marchetti dan Alexis Monchovet) dan Inshallah Beijing! (Francesco Cannito dan Luca Cusani) yang pernah meraih pelbagai anugerah antarabangsa.

Menjadi filem pertama ­ditayangkan, Abu Jamil Street ­mengisahkan tiga pekerja terowong di Mesir yang sering bergelak ketawa sambil membandingkan konflik di negara itu umpama cerita kartun.

Bagaimanapun, gelak senda itu terhenti tatkala berlaku pengeboman yang sangat dahsyat angkara rejim Israel pada 2008. Pelbagai liku ditempuhi termasuk peristiwa cuba melarikan diri daripada polis Mesir, namun akhirnya mereka masih mampu bergelak ketawa semula.

Filem dokumentari yang menggunakan bahasa Arab ini menunjukkan mesej bahawa walaupun dihimpit dan tersepit dalam kesusahan hidup, manusia berhak mendapat kegembiraan serta tawa demi meneruskan hidup.

Pada sidang media berkenaan, sebuah dokumentari bertajuk Home Front yang menghimpunkan empat cerita peribadi mengenai ­pengalaman hidup empat rakyat Palestin, menghadapi detik kesengsaraan di bumi mereka turut ditayangkan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas),
Mohd Naquib Razak yang berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan VPM serta GSC merealisasikan KLPFF dalam usaha membantu rakyat Palestin.

Jangan lepaskan peluang untuk meluangkan masa menonton filem hebat ini dan menyelami penderitaan sebenar rakyat Palestin menghadapi kehidupan yang bagaikan tidak mengenal erti belas kasihan. Pas menonton boleh didapati di kaunter GSC bermula jam 11 pagi, 4 Februari ini dan maklumat lanjut boleh dilihat di www.vivapalestina-my.org.



Kongsi artikel ini menerusi media sosial



IKLAN




f