Berita Utama

Kad diskaun ibu tunggal

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Maiamalina Mohamed AminKuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 831,860 ibu tunggal berdaftar di seluruh negara bakal menikmati diskaun menerusi kemudahan Kad Skuad Pengguna 1Malaysia dalam usaha memartabatkan sumbangan golongan itu.
Foto

NAJIB berucap di hadapan ibu tunggal yang hadir pada majlis perjumpaan khas.

Menerusi kad itu, mereka layak menerima potongan harga sehingga 50 peratus bagi belian barang keperluan di 2,170 premis perniagaan seluruh negara termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia.

Najib berkata, selain kad diskaun itu, kerajaan komited memperkenalkan insurans berkelompok, bantuan guaman dan kuota khas dalam projek perumahan rakyat (PPR) terhadap ibu tunggal sekiranya diberi mandat besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Sebenarnya, banyak yang kami mahu buat tetapi kami menyeberangi ‘jambatan kecil’’ yang sampai ke hujungnya adalah 5 Mei (hari pengundian),” katanya ketika melancarkan Jalinan Wanita Ibu Tunggal Malaysia (JUWITA) di sini, semalam.


Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


JUWITA adalah sekretariat khas Wanita BN bagi menyediakan saluran persatuan ibu tunggal mengemukakan aduan atau isu berhubung kebajikan golongan terbabit.

Seramai 3,000 ibu tunggal di seluruh negara menghadiri majlis itu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan skim insurans berkelompok untuk ibu tunggal dengan bayaran premium RM12 seorang dan menanggung kos RM12 juta setahun bagi melaksanakan program itu.

Beliau berkata, insurans itu menawarkan polisi perlindungan termasuk faedah meninggal dunia (RM5,000), kematian akibat kemalangan, khairat kematian dan hilang upaya akibat kemalangan, masing-masing RM10,000.

Menurutnya, pada masa akan datang ibu tunggal yang berdepan kes syariah di mahkamah boleh mendapatkan bantuan khidmat guaman percuma menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

“Bagi PPR, kami boleh pertimbangkan (untuk pemberian kuota ibu tunggal) kerana kasihan terhadap wanita yang menjadi ketua keluarga tetapi tidak memiliki rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sekiranya diteliti, Manifesto BN dirangka secara menyeluruh bagi memastikan tiada satu golongan pun termasuk ibu tunggal tercicir daripada proses transformasi negara.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Kebajikan D’Murni Kasih 1Malaysia, Puteri Mas Lia Seri Dewi Radin Mohamad, 50, berkata, ikrar Najib menunjukkan BN komited dalam memastikan kebajikan golongan ibu tunggal di negara ini.

“Ssemua yang diumumkan termasuk kad diskaun itu adalah apa yang kami nantikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/19