Sabtu,30 Ogos 2014

Kasut direka untuk kesihatan tulang, saraf

FAKTOR cantik dan murah sering kali menjadi kriteria pilihan kala memilih kasut meskipun ada sesetengahnya mungkin boleh mendatangkan kesan buruk pada kaki.

Ada kasut yang membuatkan kulit kaki melecet ketika kali pertama disarungkan, boleh juga berlaku apabila digunakan seharian. Ada pula kasut yang membuatkan kaki serta otot betis lenguh walaupun baru seketika melangkah.

Justeru, apa sebenarnya yang perlu ada pada sepasang kasut?

Menurut Pengurus Besar Reckitt Benckiser, Veronika Rost, sepasang kasut itu dianggap berkualiti apabila dapat memperbaiki postur badan dan gaya jalan seseorang.


Hasilnya adalah jaminan kesihatan tulang dan saraf di bahagian tertentu badan, sekali gus mengurangkan masalah berkaitan otot terutama di zon lutut, betis dan tumit kaki.


“Kaki adalah asas kepada keseluruhan tubuh badan. Andainya kaki mula mengalami masalah, pasti struktur tubuh yang lain turut terjejas hingga menyukarkan kita melakukan aktiviti harian.

“Biarpun sepasang kasut itu cantik di mata, tidak semestinya ia elok untuk kaki. Jadi, pastikan dulu keselesaan kaki dengan memilih kasut yang sesuai dan tidak hanya melihatnya kepada satu aspek semata-mata,” katanya.

Scholl, jenama kasut berteknologi popular, kini hadir dengan lebih 100 pilihan kasut yang bukan saja memberikan keselesaan pada kaki malah menarik digayakan.

Rangkaian kasut ini juga menggunakan teknologi alas kaki yang berbeza atau pelapik dalam kasut yang selesa untuk memenuhi keperluan setiap individu dan memastikan keselesaan kaki.

“Tidak kira apa pun stail yang ditampilkan, pasti ada kasut yang sesuai untuk semua. Koleksi ini terdiri daripada kasut santai, majlis rasmi atau tempat kerja dan bersukan, dengan rekaan menarik yang menyerlahkan cita rasa, gaya dan keperibadian tersendiri pemakainya.

“Paling utama Scholl sentiasa memastikan penjagaan dan kesihatan kaki yang mana setiap pengeluaran hadir dalam pelbagai gaya yang disertai teknologi terkini untuk keselesaan kaki,” tambahnya.

Antara teknologi yang diperkenalkan dalam koleksi ini ialah Memory Cushion iaitu tapak dalamannya berperanan berubah mengikut bentuk atau kontur kaki dan kembali ke bentuk asal untuk sokongan setiap kali kasut dipakai.

“Teknologi Bioprint pula boleh berubah mengikut kontur semula jadi kaki untuk menyokong lengkuk tapak kaki dan tumit, sementara gelactiv berperanan sebagai gel penyerap hentakan, memberi kelegaan pada kaki yang penat,” ujarnya.

Selain itu, Arch Support bertindak sebagai alas kaki lembut yang memberi keselesaan untuk kaki yang leper atau lengkung tapak kaki yang sudah jatuh manakala Sole Support berupaya melegakan tekanan pada bebola tapak kaki dan membentuk otot jari kaki.

Massage pula berfungsi sebagai pengurut tapak kaki bagi melegakan ketegangan dan meningkatkan peredaran darah, Bio Mechanics untuk memberikan penawar kesakitan semula jadi dan melaraskan kaki dengan tubuh agar dapat mengurangkan masalah tapak kaki condong ke dalam.

Tidak ketinggalan Starlit berperanan menggalakkan postur yang lebih baik, meningkatkan peredaran darah, memberikan senaman kepada otot serta membentuk otot kaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/30
`