Isnin,21 April 2014

Kasut saiz besar!

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

SUKAR mencari kasut kerana anda seorang wanita yang memiliki kaki bersaiz besar? Jika ya, kini anda tidak perlu gusar lagi untuk mencari kasut kegemaran mengikut fesyen terkini.

Ini kerana pengeluar kasut wanita, Princess memperkenalkan koleksi deluxe bagi mereka yang memiliki saiz kaki besar bermula daripada sembilan hingga 13.

Ia direka dengan menitikberatkan penggunaan talinya dan tumit lebih tebal berwarna metalik keemasan, merah dan hitam yang menjanjikan keyakinan ketika menghayun langkah supaya tampil lebih bergaya.

Selepas menerima permintaan menggalakkan daripada pelanggan, koleksi kasut bersaiz besar yang dilancarkan pada Mac lalu kini menampilkan pelbagai rekaan tumit tebal dengan warna metalik dan kasut jenis but pada ketinggian sehingga lima inci.


Inspirasi daripada kecantikan dan gaya anggun wanita moden hari ini, kasut Princess direka bagi memenuhi gaya di samping memberi keselesaan kepada pelanggannya pada harga berpatutan.


Mementingkan misinya sejak ditubuhkan pada 1981, ia menawarkan koleksi kasut terbaru yang dapat memberikan perasaan bagai seorang puteri kepada pemakainya sesuai dengan nama jenama itu sendiri.

Rekaan tumit yang lebih tebal, kuat dan luar biasa membolehkan wanita terus bergaya tidak kira ketika bertugas di pejabat mahupun bersantai bersama keluarga dan teman.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Princess Shoe & Handbang Centre Sdn Bhd, Alan Lok, jenama yang bertapak di pasaran selama 30 tahun itu kini menampilkan pelbagai jenis koleksi terbarunya pada majlis ulang tahunnya baru-baru ini memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggannya.

“Melalui majlis ini saya dapat menerangkan gaya yang dipersembahkan selain bercerita mengenai sejarah penciptaannya. Kami mahu meraikan pelanggan setia yang banyak memberi sokongan kepada Princess selama ini,” katanya yang turut melancarkan kad ahli kepada pelanggan setianya. Majlis turut dihadiri selebriti televisyen dan pengacara terkenal, MayJune, Dina, Farawahida, pengedar dan rakan perniagaannya.

Katanya, majlis kali ini turut menampilkan beberapa jenis himpunan terbaru Princess yang memberikan pelbagai pilihan mengikut kehendak dan gaya yang digemari pelanggan.

“Anggun, rekaan bergaya dan warna menyerlah antara ciri istimewa koleksi ditampilkan kali ini. Bermula daripada kasut tapak rata hingga bertumit tinggi, semuanya diberikan sentuhan konsep cetakan binatang seperti harimau bintang dan kulit ular bagi menampilkan kelainan.

“Kasut jenis baji dan bertumit tinggi dengan perincian tali kini boleh didapati dalam pelbagai warna seperti biru, putih, hitam dan merah jambu bukan saja sesuai untuk gaya ringkas tetapi ia juga menarik dan mampu menonjolkan kaki yang cantik dan tampak seksi,” katanya.

Antara koleksi yang ditawarkan ialah fashion, pumps, de confort, deluxe dan viani. Semua kategori kasut yang ditampilkan memberi fokus kepada rekaan kasual dan bergaya sesuai dipakai ketika waktu bekerja ataupun bersantai di hujung minggu.

Kasut jenis pump atau sarung ini terdapat dalam dua kategori iaitu pada tapak rata dan bertumit tinggi yang dihasilkan menggunakan kulit asli bagi memberikan keselesaan berpanjangan kepada pelanggannya.

Koleksi ini menampilkan warna coklat terang dan cetakan seakan kulit ular pastinya dapat menarik perhatian ketika berada di dalam bilik lembaga mesyuarat.

Koleksi kasut jenis de confort sesuai digayakan oleh wanita aktif kerana rekaannya bukan saja menekankan aspek keselesaan tetapi ia turut dikemaskan dengan jahitan pada kulit luar tumitnya.

Bagi gadis yang mahukan gaya kasual pula boleh memilih kasut jenis viani; yang direka dengan menitikberatkan ciri-ciri kasut balet yang ringan, mudah dilentur dan bertapak rata. Untuk menambah gaya ia diberi perincian gancu berwarna-warni seperti merah jambu, oren, biru dan merah. Gaya segar dan cerita ini sesuai digayakan remaja terutama ketika bersantai bersama teman.

Selain itu, anda boleh melengkapkan penampilan dengan menggayakan beg dan kaca mata dari jenama sama yang ditampilkan dalam warna pastel seperti merah jambu dan kuning air.

Bagi yang mahukan gaya lebih ceria, bolehlah memilih beg berwarna oren, biru atau kuning.

Koleksi kasut Princess boleh didapati dengan harga RM49.90 hingga RM240 manakala beg pula bermula pada harga RM15.90 hingga RM199.99. Untuk maklumat lanjut, layari www.princess.com.my atau melalui laman sosial facebook di http://www.facebook.com/PrincessShoes.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/10
`