Rabu,01 Oktober 2014

Kecantikan dalaman lebih utama

Oleh Siti Zarinah Sahib

MENURUT Kenrick & Guthrie, perempuan dikelilingi wanita cantik sama ada di persekitaran mahupun dalam majalah atau filem akan berasa rendah diri dan beranggapan diri mereka kurang sempurna dan menarik.

Ini termasuk lelaki kerana mereka berasa makna cantik seperti apa yang dilihat di sekeliling dan sentiasa mengharap­kan wanita memiliki kecantikan seperti dipaparkan di kaca TV dan majalah.

Namun benarkah ungkapan ini atau hanya dirasai sesete­ngah wanita saja? Jika betul, siapa yang menilai kecantikan? Adakah wanita bersolek tebal dan memakai pakaian mahal sambil membawa beg berjenama mewah itu cantik dibandingkan wanita berjubah dan bertudung?

Wardina Safiyyah ketika menyampaikan inti pati dalam forum bertajuk “Fesyen..

Ya atau Tidak” sempena Konvensyen Bidadari Dunia 2012 anjuran iluvislam.com, baru-baru ini, mentakrifkan fesyen sebagai sesuatu yang ditentukan kapitalis dan golongan ini menghasil­kan barangan secara besar-besaran untuk menjana keuntungan.

Fesyen juga sentiasa berubah dan tertakluk kepada yang popular manakala media berpengaruh dan alat menentukan populariti menerusi penyiaran secara berulang-ulang, menggunakan pengiklanan memujuk emosi seseorang untuk terus melihat atau menonton.

Tambahnya, fesyen hanya keperluan luaran semata-mata dan ditiru daripada pentas peragaan di Paris dan New York. Malah ia mementing­kan fizikal menerusi helaian pakaian dan wanita hanya meniru apa yang dikatakan cantik. Kecantikan itu juga berasaskan pandangan mata menerusi solekan, pakaian dan gaya rambut sedangkan kecantikan sebenar ialah pakaian takwa.

Akui Wardina, jika dulu dia adalah penggemar majalah fesyen bagi mengikuti perkembangan gaya semasa tetapi kini jujur mengakui, sudah berhenti membacanya kerana merasakan Allah sudah menyempurnakan kejadian manusia dengan sebaik-baiknya.

“Sekarang saya hanya membaca majalah yang memberi manfaat dan berilmiah kerana ini membuatkan saya mahu lebih cantik menerusi dalaman. Saya yakin apa yang dibaca dan dilihat amat mempengaruhi kehidupan,” katanya.

Bagi ibu kepada tiga cahaya mata ini, kecantikan hanya penilaian daripada mata kasar dan bagaimana seseorang itu menilainya. Tidak cantikkah seorang wanita yang tidak memiliki pakaian berjenama dan solekan pada wajah mereka namun kaya ilmu, santun, adab dan akhlak?

“Tidak usah berasa rendah diri sekiranya kita tidak seperti apa yang majalah atau negara Barat paparkan. Yakinlah dalam diri, kita kelihatan cantik dengan adab, akhlak, Islam, iman dan ihsan. Sesungguhnya saya juga sedang membina keyakinan ini dalam diri saya dan anak-anak. Cukuplah kita berkiblatkan Barat untuk menilai cantik dan yakinlah dengan mengatakan Allah menciptakan saya sebagai insan sempurna,” katanya.

Wardina yang aktif menulis menerusi laman blog memberitahu mengenai ayat al-Quran yang menyeru wanita menundukkan pandangan mata kerana dari situ, punca segala maksiat. Kedua, barulah menjaga maruah dan menutup aurat.

Memang ramai wanita berhijab tetapi berapa ramai daripadanya menjadi solehah atau Muslimah sejati?

Ini diakui pelakon dan pengacara Catriona Norhayati Ross yang mula berhijab selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya suatu ketika dulu. Dia pernah ditawarkan mengacara program fesyen dan diminta memakai serban.

“Memang saya terseksa dua jam kerana berserban tinggi dan ini mengganggu pergerakan. Jadi saya mengambil keputusan berfesyen bukan sekadar menerima membuta tuli, sebaliknya memerlukan keselesaan. Berhijab memang senang, hanya sarungkan apa yang berkenan di hati tetapi paling susah adalah untuk menghijabkan hati ke arah kebaikan.

“Jadi saya mulakan dengan keazaman dan membawa tafsir al-Quran ke mana-mana kerana ia satu cara berkomunikasi dengan Allah. Apabila membaca dan tidak faham, saya ada tafsiran untuk membersihkan hati,” katanya yang gemar mengikuti majlis usrah bagi bertukar pandangan dengan rakan.

Menurut Catriona, memang banyak cabarannya ketika mula-mula bertudung. Ramai memberi pandangan sinis dengan mengatakan dia bertudung untuk menunjuk-nunjuk.
Tetapi Catriona tetapkan hati dan percaya dengan Allah dan Rasulullah s.a.w.

“Sebelum berhijab saya jahil mengenai fesyen dan hanya meniru pelbagai gaya dalam majalah dan televisyen. Saya menjadikan mereka idola padahal saya dibesarkan dalam persekitaran yang baik. Ibu dan adik saya bertudung, kawan-kawan saya juga bertudung. Namun apabila melihat mereka saya hanya memandang dengan satu wajah tanpa berasa apa-apa,” katanya.

Dia mengakui, dulu tidak banyak majalah bertudung untuk dijadikan rujukan malah fesyen bertudung juga tidak berkembang seperti sekarang.

Bagi pemilik butik Pearl Haya, Suryati Daman, pengalaman menetap di Amerika Syarikat selama 13 tahun menyebabkan dia sangat bersyukur hidup dalam keadaan aman dan bebas menutup aurat. Tidak seperti di Amerika dan Turki, kebanyakan wanita di sana tidak bebas berhijab. Jika ada, ia sangat terhad dan dipandang sinis.

“Pernah di Boston pada 2001 ketika menaiki kereta api, seorang lelaki Afrika menjerit dan meludah hanya kerana saya bertudung. Dia dengan marah meminta saya pulang ke negara asal. Tidak habis di situ, wanita bertudung dianggap sebagai ancaman malah pemeriksaan ketat dilakukan walau di mana saja berada,” katanya yang berkelulusan dalam bidang ekonomi.

Tambahnya, selepas pulang ke Malaysia, banyak jenama tudung diperkenalkan sehinggakan Suryati sendiri tidak tahu fesyen yang ingin digayakan. Sehingga satu hari, dia terfikir persaingan dalam fesyen bertudung dan cuba mengetengahkan jenama Pearl Haya bersama rakannya.

Dia yang juga pengasas jenama Saraya Zahret memberitahu, inspirasi dalam menghasilkan rekaan adalah orang di sekelilingnya. Contohnya, ibu berkerjaya yang ingin cepat tetapi pada masa sama selesa bertudung.

“Sebab itu saya mengetengah­kan pakaian Muslimah untuk semua golongan. Namun keba­nyakan pelanggan tidak tahu apa yang mereka mahukan. Mereka masih tercari-cari dan ingin membeli apa yang diiklankan dan dipakaikan pada patung kerana berasa itu yang cantik padahal kecantikan ada di mana-mana dan pada sesiapa saja.

“Di butik saya cuba mendidik mereka mencari pakaian sesuai. Saya cuba yakinkan pelanggan, mereka cantik dalam apa juga padanan asalkan menutup aurat dan mempunyai jati diri. Jangan bergantung dengan apa yang dilihat di media, sebaliknya selesa dan berasa diri sangat berharga. Buat apa jika hanya cantik pada tubuh tetapi tidak selesa dipakai,” katanya.

Ada juga pelanggan yang sebelum ini tidak bertudung tetapi apabila masuk ke butik terus membeli dan ingin menutup aurat kerana berasa bertudung lebih cantik dan menawan.

“Saya sangat gembira dapat berdakwah menerusi fesyen. Mungkin buat permulaan mereka menutup aurat kerana minat tetapi lama-kelamaan saya percaya ia adalah tuntutan iman,” jelasnya.

Perunding motivasi, Datin Zaleha Omar mempunyai panda­ngan tersendiri mengenai fesyen. Baginya pakaian adalah untuk melindungi tubuh dan menyeimbangkan penampilan. Ini kerana setiap orang memiliki bentuk badan berbeza iaitu bentuk jam pasir, lurus, pear dan sudu. Jadi menerusi setiap jenis tubuh ini, wanita akan mencari padanan yang bersesuaian dengan penampilan mereka.

“Misalnya, tali pinggang dapat memberi sentuhan berbeza sekiranya wanita memiliki bentuk badan lurus manakala bagi yang memiliki bentuk buah pear boleh mengenakan potongan A-line. Semua ini dicipta golongan kapitalis untuk menghasilkan keuntungan manakala model yang cantik, tinggi dan menawan dipilih bagi mempromosikan pakaian supaya nampak cantik dan anggun, padahal ia hanya gambaran fizikal semata-mata,” katanya.

Zaleha yang mula bertudung ketika melahirkan anak kedua pada 1979 memberitahu, dia bertudung disebabkan perintah suami.

“Pada masa itu tudung tidak banyak seperti sekarang, jadi saya potong kain dijadikan selendang. Akibat malu, saya keluar awal ke pejabat dan tidak keluar bilik sehingga petang. Memang kelakar kerana saya bertudung bukan sebab kerelaan tetapi terpaksa, malah saya tidak berasa selesa. Tetapi kini pelbagai jenis tudung ditampilkan dan bertudung menjadi gaya semasa.

“Namun sekiranya berasa sudah cantik, usah berlebih-lebihan dalam berpakaian.
Ini kerana kecantikan bukan dinilai menerusi apa yang dipakai tetapi keyakinan, cara kita berhadapan dengan orang ramai, menjaga perlakuan, tutur kata dan tidak melanggar hukum syarak.

“Paling penting, kesederhanaan bukan saja pada pakaian tetapi sikap dan pemikiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/19

Artikel Lain

`