Ahad,24 Ogos 2014

Kekuatan Misiku Kuza

Oleh Georgie Joseph

Dilema cinta tiga segi sememangnya tema yang sering dipaparkan dalam drama bersiri terbitan syarikat produksi tempatan. Cuma yang membezakan hanyalah bagaimana kedalaman cerita itu diolah mahupun kekuatan karakter watak bagi memantapkan lagi cerita berkenaan.

Drama bersiri berjudul Misiku Kuza arahan pe-ngarah berkaliber Sharul Ezad Mohameddin yang mula ditayangkan jam 10 malam ini di saluran Astro Ria bakal menarik penonton dengan kisah cinta sedemikian.

Namun bukan fokus kepada skop cinta semata-mata, Shahrul jelas mengambil risiko apabila kehidupan di hospital menjadi tunjang utama drama berkenaan.

Jarang ada yang menonjolkan kisah di hospital memandangkan tidak banyak ruang boleh dite-roka dalam bangunan terbabit, apapun Misiku Kuza pastinya memiliki kekuatan tersendiri.


Diterajui tiga pelakon popular iaitu Arja Lee, Erin Malek dan Hairul Azreen, drama ini mengisahkan suka duka kehidupan pelatih jururawat di sebuah kolej kejururawatan di ibu negara.


Khuzaimah atau Kuza (Erin) sangat meminati bidang kejururawatan sejak kecil lagi kerana ingin mengikuti jejak arwah ibunya.

Akhirnya cita-cita itu tercapai meskipun tahu profesion itu bakal mendedahkannya kepada pelbagai ke-renah di tempat bekerja nanti.

Mempunyai perwatakan yang menarik, sikap ceria dan bersemangat Kuza turut membuatkan seorang pesakit di hospital berkenaan iaitu Airiel (Hairul) tertarik kepadanya. Sifat kelakarnya sedikit sebanyak menjadi penghibur dan pengubat duka hati Airiel selepas kehila-ngan kekasihnya yang terkorban dalam kemalangan.

Pada masa sama, Kuza turut diuji dengan keha-diran seorang doktor yang ternyata sangat dibenci kakitangan di situ lantaran sikap bongkaknya serta bermulut lancang. Meskipun kacak, sikapnya memang menjengkelkan dan Kuza dipertemukan pula dengannya.

Sejak itu, dia sering menjadi mangsa buli doktor Aaron (Arja) ditambah pula sememangnya mempunyai kuasa di hospital berkenaan dan sebaik menyedari sikap Kuza yang kelam-kabut serta lurus bendul, makin galak dia membulinya.

Dijadikan cerita, Aaron dan Airiel adalah adik-beradik namun tidak bersefahaman. Aaron pernah membantah keras sewaktu Airiel mengambil keputusan untuk meni-kahi kekasihnya, Suzana menyebabkan pertengkaran berlaku.

Semakin mengenali Aaron, Kuza bagaimanapun mula menyedari sifat sebenar kenapa doktor berkenaan sangat berkeras terhadap jururawat di hospital terbabit. Daripada ‘musuh ketat’ akhirnya mereka semakin akrab.

Dari situlah pergolakan cinta tiga segi berlaku antara mereka di mana Aaron dan Airiel masing-masing berusaha memenangi hati Kuza. Kesannya paling dirasai Aaron yang kini berbelah bagi sama ada untuk mengorbankan cinta demi adik tercinta atau tidak.

Berkonsepkan komedi romantik, siapakah yang akhirnya dipilih Kuza dalam siri yang akan bersiaran sebanyak 13 episod berkenaan? Sebuah drama daripada produksi Radius One Sdn Bhd, saksikan episod pertamanya malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/05
`