Rabu,03 September 2014

Kemudahan dorm IJN

Teks dan gambar Kusyi Hirdan

KETIKA di surau Institut Jantung Negara (IJN), penulis terdengar beberapa orang bersembang mengenai ahli keluarga mereka yang mendapat rawatan. Daripada situ, dia bercerita pula mengenai dirinya yang tinggal di dorm di hospital sama dan disebutkan sekali harga sewa biliknya.

Tentu saja penulis tidak mengetahui mengenai kewujudan dormitori yang dimaksudkannya itu. Lantas kerana mahu melihat sendiri, ditemani Pengurus Yayasan IJN, Ritzzawati Rosli Mohd Rosli dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat IJN, Adiwani Ansar Zainuddin, penulis membuat lawatan ke dormitori yang sudah bertapak lebih setahun itu.

Ia terletak di tingkat dua, Blok C, betul-betul di atas kafeteria. Ia boleh dikunjungi dengan menaiki lif atau tangga. Ada empat dorm di tingkat yang sama dan setiap dorm mempunyai lima katil dan bilik air sendiri yang luas dan selesa.

Ada dua dorm lelaki dan dua dorm perempuan, selalunya bilik perempuan yang penuh mungkin kerana kebiasaan perempuan yang menjaga ahli keluarga. Ada yang menunggu ibu bapa, suami, isteri ataupun anak.


Syarat utama kemasukan ke dorm ini adalah pengiring pesakit mesti dari luar Kuala Lumpur dan pesakit yang diiring dari wad pesakit kritikal saja.


“Biasanya bilik sentiasa penuh dengan purata 70 peratus. Mereka biasanya datang dari jauh dan berpendapatan rendah yang tidak mampu menyewa hotel,” beritahu Ritzzawati.

Kewujudan dorm ini memang sangat diperlukan kerana lokasinya yang berdekatan membuatkan pengiring pesakit selesa berulang-alik ke wad dan pulang ke bilik merehatkan diri.

“Dorm ini dibina atas usaha sama Yayasan IJN bersama Public Bank bermula Jun 2010, dan beroperasi 24 jam dengan caj yang sangat minimum iaitu RM30 semalam. Ia boleh disewa oleh seorang saja wakil pesakit dan memang dirancang pembinaannya bagi memenuhi keperluan mereka yang kurang mampu,” kata Ritzzawati.

Tambahnya, pihak Public Bank menyumbang geran sebanyak RM100,000 setahun bagi operasi penjagaan dorm untuk tempoh selama lima tahun.

“Idea menubuhkan dorm ini kerana Yayasan IJN prihatin kepada keperluan mereka yang tidak mampu. Lagipun ia memberi kelegaan kepada pesakit dan penjaga apabila mereka berada saling berdekatan. Kedudukan dorm sangat dekat dengan wad dan hanya perlu berjalan kaki untuk berulang alik,” katanya.

Dormitori Yayasan IJN-Public Bank ditawarkan kepada pengiring pesakit yang memerlukan penginapan yang antara syaratnya berpendapatan rendah, tinggal di luar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, tidak mempunyai saudara-mara yang tinggal di Kuala Lumpur, tidak mempunyai pengangkutan atau sukar mendapat kemudahan pengangkutan untuk berulang alik ke IJN bagi melawat pesakit.

Di tingkat yang sama, Yayasan IJN juga menyediakan bilik yang dinamakan Bilik Ibu. Bilik ini berbeza dengan dorm penginapan kerana di dalam satu bilik ada lapan katil kecil. Ia khas buat ibu yang mempunyai anak di wad kritikal. Hanya seorang ibu dibenarkan tinggal di situ dari jam 7 malam sehingga 9 pagi. Ibu yang tinggal di sini tidak dikenakan bayaran.

Memang tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan dorm ini kerana biasanya ia diketahui dari mulut ke mulut.

“Jumlah dorm yang terhad dan hanya boleh menempatkan 20 orang pada satu-satu masa menyebabkan ia sentiasa penuh dan bertukar ganti setiap hari. Melihatkan sambutannya, kami memang merancang untuk memperbesarkan lagi perkhidmatan ini supaya ia boleh memberi kemudahan kepada ramai lagi yang memerlukan,” katanya.

Menurut Ritzzawati lagi, ada yang terpaksa tinggal lama di dorm sehingga tiga bulan kerana mengiring ahli keluarga dan bagi kes sebegini, sekiranya ia membabitkan warga yang susah, Yayasan IJN akan membantu mengurangkan pembayaran ataupun membuat pengecualian.

Mereka yang ingin memohon mendapatkan pengecualian bayaran penginapan mestilah mendapatkan sokongan dan kelulusan daripada Unit Kaunseling Pesakit IJN dan barulah permohonan dibuat ke Yayasan IJN.


Mengenai Yayasan IJN dan Dormitori Yayasan IJN-Public Bank:

  • Yayasan IJN ditubuhkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) pada 1995 dengan tujuan menjadi badan pelaksana program dan aktiviti kebajikan IJN.

  • Antara objektif utama yayasan ialah membiayai kos rawatan bagi pesakit jantung yang miskin yang perlu menjalani rawatan di IJN.

  • Dormitori Yayasan IJN-Public Bank pula menyediakan kemudahan penginapan bagi ahli keluarga yang menunggu pesakit kritikal yang datang dari luar Lembah Klang.

  • Buat masa ini ada empat bilik yang setiap bilik dilengkapi lima katil. Setiap katil dilengkapi kipas dan almari, pantri lengkap peti sejuk, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik serta ruang rehat dengan televisyen.

  • Borang permohonan untuk tinggal di dormitori boleh didapati di Pejabat Yayasan IJN, Unit Kaunseling Pesakit atau Kaunter Khidmat Pelanggan. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-26178200 (www.ijnfoundation.com)

    Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/25
  • `