Jumaat,19 September 2014

Kerap buang air kecil

SAYA kini berusia 22 tahun. Masalah saya ialah kerap membuang air kecil sehingga lima kali dalam tempoh sejam walaupun hanya meminum segelas air.

Saya pernah membandingkan keadaan ini dengan abang saya tetapi keputusannya berbeza. Biarpun meminum lebih banyak air daripada saya, dia tidak mengalami masalah seperti saya. Adakah keadaan ini normal atau saya mempunyai masalah?

BONNY
Sabah

Masalah pundi kencing meragam jarang berlaku dan simptomnya tidak sama untuk dibandingkan dengan mana-mana individu. Jadi pengalaman anda membuang air kecil sebanyak lima kali dalam satu jam tidak boleh digunakan sebagai ukuran.

Anda perlu tahu, pundi kencing kita mampu menyimpan satu liter air kencing dalam satu-satu masa. Kita jarang menggunakan daya pundi kencing dan kita hanya buang air kecil apabila terasa untuk melakukannya.

Jika kita melambatkan pembuangan air kecil, pundi kencing masih mampu menahannya tetapi ia akan membuatkan pundi kencing tidak kempis sehabis-habisnya ketika kita membuang air kecil.

Malah, kita akan terasa seperti hendak membuang air kecil kembali walaupun ia baru saja dilakukan.

Situasi ini dikenali sebagai ‘Irritable Bladder Syndrome’ iaitu penghasilan air kencing dalam kawalan hormon Vasopressin. Apabila hormon ini keluar daripada otak, air diserap ke dalam ginjal. Jika hormon itu tidak keluar, air kencing menjadi lebih banyak seperti biasa.

Selain itu, anda harus mengelak memakan makanan tertentu seperti tembikai atau meminum air sejuk yang akan membuatkan anda terasa ingin membuang air kecil.

Sebenarnya, kita boleh meningkatkan daya kandungan pundi kencing dengan melewatkan buang air kecil secara beransur-ansur.

Jika kebetulan kita mengalami keradangan pundi kencing disebabkan serangan kuman, ia juga boleh membuatkan pundi kencing meragam.

Apabila keradangan berkurangan atau terkawal serta kandungan kuman menjadi rendah dan tidak menyerang pundi kencing, keadaan akan menjadi pulih.

Anda boleh menjalani ujian air kencing untuk kepastian mengenai keadaan pundi kencing.

Jika normal, kemungkinan anda menghidap pundi kencing yang meragam dan anda boleh ikut saranan yang saya jelaskan pada awal tadi atau mengikut nasihat doktor.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/06
`