Sabtu,30 Ogos 2014

Ketagih pasembor Salleh

Oleh Roslan Ibrahim

Ketika datang dari Air Hitam, Pulau Pinang ke ibu kota, dia berniaga menggunakan motosikal roda tiga dan meronda di sekitar kuala Lumpur untuk mencari pelanggan.

Selepas yakin dengan sambutan orang ramai, Salleh Kader Mydin, 55, mengambil keputusan meletak premis makanannya di Jalan Maarof (sebelah Petronas), Bangsar, Kuala Lumpur.

“Di sini lebih mudah kerana orang ramai boleh datang bila-bila masa dan saya juga tidak perlu bergerak ke sana sini lagi.

“Pelanggan saya terdiri daripada berbilang bangsa termasuk Cina, India, Melayu dan warga asing yang menetap di sekitar Bangsar,” katanya yang popular dengan pasembor dan cendol.


Sebut saja pasembor dan cendol Salleh Bangsar, orang ramai sudah tahu di mana premisnya, malah ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata ‘ketagih’ pasembornya.


Keistimewaan pasembornya ialah cucur udang yang rangup yang diadun dengan kuah yang sedap sehingga ramai datang berulang kali.

“Ada pelanggan yang datang dari Negeri Sembilan semata-mata mahu menikmati pasembor dan cendol saya.

“Malah, ada memesan pasembor dan cendol saya untuk dibawa ke luar negara termasuk ke Makkah.

“Ada seorang pelanggan dari Singapura mahu mengambil saya sebagai rakan kongsi kerana yakin perniagaan pasembor dan cendol itu boleh berjaya,” katanya.

Bagaimanapun, Salleh tidak sanggup berpindah ke Singapura walaupun mampu mendapat pendapatan lumayan kerana sayangkan pelanggannya di sini.

Di kalangan warga asing terutama warga Eropah dan Jepun yang bekerja di negara ini, mereka juga gemar menikmati pasembor dan cendol saya.

“Kadang kala melihat mereka makan pasembor geli hati kerana kebanyakan tidak tahan pedas sehingga ada yang merah muka.

“Tetapi, mereka memuji pasembor dan cendol saya sedap kerana tidak terdapat di tempat mereka,” katanya.

Salleh berniaga berhampiran stesen Petronas Bangsar itu sejak 30 tahun lalu dan sehingga beliau tidak bercadang berpindah ke tempat lain.

“Walaupun tempat ini kecil dan panas, inilah menarik kerana ada yang datang dengan kereta mewah, sanggup makan di sini.

“Bagi kebanyakan mereka, inilah keseronokannya kerana dapat makan sambil berbual-bual,” katanya.

Di kalangan orang kenamaan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara pelanggannya.

“Dr Mahathir tak makan pasembor di sini, tetapi dia menyuruh orang membeli untuknya dan saya pernah menyediakan pasembor dan cendol untuk rumah terbukanya pada 1990-an.

“Dr Mahathir suka cucur udang dan kuah pasembor kerana ia memang resipi nenek moyang saya dari Pulau Pinang,” katanya.

Rutin hariannya bermula jam 5.30 pagi dengan menyediakan bahan untuk pasembor dan cendol.

“Saya menyediakan sendiri kuah pasembor kerana itu rahsia perniagaan, malah pekerja pun tidak tahu.

“Saya membuka perniagaan jam 10.30 pagi hingga 4 petang dengan dua pekerja,” katanya.

Hasil perniagaan pasembor dan cendol sejak 30 tahun lalu, beliau menyara isteri dan empat anaknya berusia 22 dan 29 tahun.

“Tiga anak perempuan saya sudah berkahwin, tetapi kadang kala mereka datang menolong termasuk anak lelaki saya.

“Saya berharap ada anak-anak saya yang mewarisi perniagaan ini kerana walaupun tidak glamor, tetapi pendapatan diperoleh agak baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/11
`