Rabu,01 Oktober 2014

Kilang gula di Sarawak

Oleh Helmy Abd Rahman

DALAM tempoh kira-kira dua tahun lagi, penduduk di Sarawak dijangka boleh menikmati harga gula yang lebih rendah atau sama dengan Semenanjung apabila kilang pemprosesan gula bernilai RM160 juta yang dibina Admuda Sdn Bhd (Admuda) memulakan operasi pengeluarannya.

Pengarah Admuda, Datuk Raja Sulaiman Shariff berkata, apabila beroperasi kelak, kilang pemprosesan gula itu mampu mengeluarkan sekurang-kurangnya 300 tan metrik gula sehari.


“Pada masa ini, rakyat Sarawak memerlukan lebih 300,000 tan metrik gula setahun dan apabila kilang pemprosesan gula kami beroperasi, ia akan mengeluarkan kapasiti sebanyak 110,000 tan metrik setahun, sekali gus memenuhi sebahagian besar permintaan gula di negeri berkenaan.

“Kami juga akan mengembangkan perniagaan dengan mengeksport ke Sabah selepas kira-kira dua tahun beroperasi dan selepas lima tahun ke kawasan serantau termasuk Semenanjung,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Admuda dan CGS International Co Ltd, syarikat pembinaan berpangkalan di China di ibu negara, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Kaunselor Ekonomi dan Komersial China di Malaysia, Xuan Guoxing dan Pengerusi Admuda, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.


Sementara itu, Mukhriz berkata, projek pembinaan kilang pemprosesan gula itu dijangka akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat Sarawak.

“Sejak awal tahun lalu, semakin banyak syarikat dari China dalam sektor perkhidmatan mengadakan urus niaga dengan syarikat tempatan dan berdagang dengan Malaysia. Pembinaan projek pemprosesan gula ini satu daripada buktinya. Situasi ini amat positif kerana mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan terutama kepada rakyat Sarawak.


“Saya difahamkan, syarikat ini terpilih kerana sememangnya berpengalaman dalam pembinaan kilang pemprosesan gula,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya Admuda yang memohon lesen untuk kilang pemprosesan gula di Sarawak.


“Selepas mengambil kira keperluan dan permintaan bagi negeri itu, kami meluluskannya,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2011/07/28
`