Kod etika rugikan calon baru

Seramai 260 calon sudah pun disahkan bakal merebut jawatan UMNO pusat selepas Ketua Penerangan Wanita, Datuk Hamidah Osman menarik diri daripada bertanding Naib Ketua Wanita pada Pemilihan UMNO 2013.

Pemilihan bagi ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri ditetapkan pada 12 Oktober manakala Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian pula pada 19 Oktober.


Seperti tahun 2009, kod etika pemilihan kini dikuatkuasakan bagi memastikan semua calon dan perwakilan bertindak atau berkempen tidak melampaui had yang ditetapkan khususnya membabitkan rasuah politik.


Lembaga Disiplin UMNO turut menegaskan bahawa calon-calon dilarang berkempen secara bersendirian, menjadi pelobi atau peraih undi.

Jika berdegil, sebarang pelanggaran tata etika boleh diambil tindakan di bawah Fasal 20.9 (a)-(e) Perlembagaan UMNO termasuk dibatalkan pencalonan atau dipecat dari parti.

Situasi ini amat menyukarkan khususnya calon-calon baru yang mendominasi hampir separuh senarai calon. Kod etika berkenaan banyak memberi kelebihan kepada calon-calon popular termasuk menteri, pemimpin persatuan kebangsaan dan tokoh-tokoh. Yang popular bebas berkempen secara langsung atau tidak di mana-mana saja.

Jelas, mereka yang baru tiada pilihan selain menggunakan ruang ‘sempit’ yang ada untuk berkempen bagi membolehkan mereka dipilih.

Bagi calon EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Fazly Zainudin, 33, beliau terpaksa menggunakan kaedah sistem pemasaran pelbagai peringkat (MLM) untuk mempromosikan dirinya selaku muka baru.


Beliau bernasib baik kerana aktif dalam Gerakan Belia 4B dan akan menggunakan rangkaian itu termasuk rakan bagi untuk memilihnya pada pemilihan sayap pada 12 Oktober nanti.


“Sukar bagi calon baru seperti kami, tetapi bagi calon popular mereka tidak akan ada masalah.


“Dengan tempoh yang terhad dan sekatan peraturan, mustahil bagi saya untuk menjelajah ke semua 191 bahagian di seluruh negara,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian Wangsa Maju.


Kod etika berkenaan juga menetapkan bahawa calon dibenarkan berkempen melalui program yang dianjurkan ibu pejabat atau Badan Perhubungan UMNO negeri, selain menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Twitter untuk tujuan memperkenalkan diri, asalkan mereka tidak menghina, mengata atau memfitnah calon lain.


“Itulah saja ruang yang ada, jadi saya tertanya-tanya bagaimanakah UMNO mahu melahirkan pemimpin pelapis dengan kaedah seperti ini. Saya pun teragak-agak untuk berkempen kerana bimbang menyalahi peraturan,” katanya.


Sementara itu calon ahli Majlis Tertinggi (MT) yang digugurkan, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kaedah kod etika perlu diubah jika UMNO benar-benar mahu melahirkan pemimpin pelapis yang benar-benar bersedia memimpin.

“Larangan seperti memfitnah dan menghina calon lain itu memang disokong tetapi tidak membenarkan berkempen adalah tidak wajar,” katanya.


Beliau berkata ada pihak mempertikaikan Pemuda tidak bersedia untuk berkempen atau berceramah setiap kali pilihan raya.

2013/09/27

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

  • PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjabat tangan dan mengangkatnya sebagai tanda bersatu serta menunjukkannya kepada perwakilan dan pemerhati ketika meninggalkan dewan perhimpunan di PWTC. FOTO Bazuki Muhammad
    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjabat tangan dan mengangkatnya sebagai tanda bersatu serta menunjukkannya kepada perwakilan dan pemerhati ketika meninggalkan dewan perhimpunan di PWTC. FOTO Bazuki Muhammad