Khamis,10 Julai 2014

Kopi ekstrak melada pahit

Oleh Saadiah Ismail

KHASIAT yang terdapat pada sesetengah tumbuhan liar untuk menyembuhkan pelbagai penyakit kini tidak dibiarkan begitu saja, malah penyelidikan dan kajian dilakukan untuk dimanfaatkan dalam beberapa cara bersesuaian dengan gaya hidup semasa.

Melada pahit atau dikenali juga dengan nama embalau padang, kusum, mempahit dan lada pahit sudah digunakan secara tradisional untuk mengawal dan membantu merawat penyakit kerana kandungan anti oksidan yang sangat tinggi.


Tumbuhan ini mencapai kematangan dan berbunga apabila ketinggian satu meter dan ia boleh menjangkau tujuh meter. Tumbuhan ini juga dikenal pasti mempunyai bahan aktif alkaloid iaitu sebatian yang mengandungi nitrogen yang tiada bau dan rasa.

Semua bahagian pokok ini berasa pahit terutama biji dan akarnya. Bijinya mempunyai 50 peratus minyak tetap, manakala isi biji mengandungi yatanin dan yatanosid. Selain itu, kandungan lain ialah brucamarin, brusealin, brutasol, bruseantin, bruseajavanin, glukosa dan kosamin.


Daunnya pula dikatakan mempunyai khasiat sebagai ubat pupuk untuk merawat bisul, sengatan lipan, kulit kasar dan gatal-gatal disebabkan oleh parasit dan kurap. Bijinya pula berfungsi untuk membantu merawat buasir, masalah penghadaman, darah tinggi, kencing manis, gaut, kolesterol dalam badan dan mencairkan darah.


Menyedari pokok melada pahit ini mempunyai seribu satu khasiat yang boleh membantu menghilangkan beberapa penyakit kronik, Fadhilat Herbs Enterprise (FHE) yang beroperasi di Telok Mas mengambil langkah positif menghasilkan minuman kesihatan yang dikenali Air Fadhilat Herbs bagi meredakan pelbagai penyakit.

Pegawai Pemasarannya, Mohd Ruaduan Ghazali, berkata, hampir empat tahun menjalankan perniagaan berasaskan minuman kesihatan ini, banyak komen positif diterima daripada pengguna setia minuman ini dan kebanyakan mereka gembira kerana penyakit yang dihidapinya semakin hari semakin pulih.


Katanya, kebanyakan daripada pengguna minuman kesihatan ini mempunyai penyakit yang kronik, malah ada yang hampir berputus asa, namun dengan mengamalkan minuman kesihatan ini, tahap kesihatan mereka dilihat semakin baik ketika berkunjung ke syarikat FHE untuk menambah bekalan minuman.

“Selain mempromosikan minuman kesihatan ini, FHE juga kini ingin melangkah ke depan dengan mempelbagaikan lagi produk yang bersesuaian supaya pengguna dapat manfaat daripada kebaikan khasiat Melada Pahit ini. Bukan hanya satu produk diperkenalkan, namun terdapat beberapa produk berasaskan Melada Pahit,” katanya.


Kini, FHE tampil dengan produk baru berasaskan tumbuhan berkenaan iaitu minuman kopi yang dikenali dengan nama Fadhilat Cafe. Minuman ini adalah yang pertama sekali menggunakan ekstrak melada pahit bagi menghasilkan kopi yang enak dengan bau yang harum.


Ia berbeza berbanding kopi lain yang terdapat di pasaran daripada segi kandungannya yang ternyata memberi kelainan kepada penggemar kopi. Ia sesuai untuk diminum sesiapa saja tidak kira peringkat usia.


Harga yang ditawarkan untuk sekotak Fadhilat Cafe yang mengandungi 18 paket adalah RM25.90.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/06/24
`