Rabu,20 Ogos 2014

Lagi rakyat kita disah terbunuh

Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang hilang selepas serangan kumpulan militan di lapangan kemudahan gas In Amenas, Algeria pada 16 Januari lalu, disahkan terbunuh dalam insiden berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, mayat Tan Ping Wee dikenal pasti pasukan forensik melalui rekod pergigian serta pengesahan tatu oleh keluarga mendiang.


Katanya, sejurus selepas pengesahan diterima Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Wisma Putra terus memaklumkan berita berkenaan kepada ahli keluarganya.

“Kerajaan Malaysia merakam ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga mendiang. Kedutaan Malaysia serta syarikat JGC kini menguruskan proses membawa pulang mayatnya.


“Mayat mangsa akan segera dibawa pulang ke tanah air bersama mayat rakan sekerjanya, Chong Chung Ngen yang dikenal pasti terlebih dulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.


Dalam insiden serangan itu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, timur Algeria, menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.

Dua daripadanya disahkan terkorban dan tiga lagi selamat iaitu Patrick Purait Awang, Lau Seek Chiang dan Ravi Kuppusamy.


Lau dan Ravi pulang ke Malaysia pada Rabu lalu, manakala Patrick secara sukarela berada di Algiers untuk membantu Kedutaan Malaysia mengenal pasti mayat rakannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
`