Rabu,20 Ogos 2014

Lancar edisi Sabah

KUALA LUMPUR: Akhbar nombor satu negara, Harian Metro (HM) melebarkan lagi penguasaannya dengan prapelancaran edisi Sabah, semalam, iaitu kesinambungan serta pecahan edisi Sarawak/Sabah (SSB) yang diedarkan sejak 2 Mei 2010.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa berkata, pecahan edisi itu dibuat berikutan tinjauan mendapati wujud sambutan dan permintaan tinggi terhadap edaran HM di kedua-dua negeri berkenaan.


Katanya, dengan pelancaran edisi khusus untuk Sabah, pihaknya berharap ia dapat menjadi ‘pembawa bendera’ Kumpulan NSTP bagi menjayakan matlamat lebih besar dalam mengembangkan lagi semua akhbar terbitannya di negeri itu.

“Berdasarkan tinjauan dibuat, kita mendapati HM dan akhbar mingguannya, Metro Ahad (MA) mempunyai permintaan tinggi di kedua-dua negeri ini (Sarawak dan Sabah).


“Jadi secara dasarnya, langkah terbaik adalah mewujudkan dua edisi akhbar berbeza bagi setiap negeri,” katanya selepas Majlis Prapelancaran HM Edisi Sabah di Balai Berita, di sini, semalam.


Hadir sama Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar; Pengarah Pemasaran NSTP, Zuraida Mohamad dan pengurusan kanan HM diketuai Pengarang Eksekutif (Rencana), Johari Mohamad; Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat; Pengarang Metro Ahad, Shariffudin Mohamed; Ketua Pengarang Berita HM, Tuan Asri Tuan Hussein; Pengarang Berita Metro Ahad, Manan Samad dan Pengarang Rencana Metro Ahad, Adam Salleh.

Menurut Zainul, sebelum ini HM/MA hasil kombinasi dua negeri dalam satu edisi diedarkan sebanyak 3,000 naskhah edaran setiap hari di Sabah dan 7,000 di Sarawak.


Namun, dengan prapelancaran yang diadakan semalam, edaran bagi kedua-dua negeri akan ditambah menjadi 10,000 naskhah bagi setiap negeri.

“Sambutan masyarakat Sarawak dan Sabah sehingga kini didapati menggalakkan dan potensi HM/MA memenangi hati penduduk sungguh baik kerana tiada lagi akhbar sepertinya dalam pasaran di sana.


“Malah kita percaya dengan pertambahan edaran bagi edisi Sabah ini, kita dapat memenuhi permintaan di kawasan Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.


Zainul berkata, pelancaran edisi Sabah juga sebagai ‘kayu pengukur’ untuk menilai keperluan serta perancangan untuk membina kilang percetakan di negeri terbabit.


“Sehingga kini, setiap percetakan terpaksa dibuat melalui kontrak sewaan syarikat percetakan di sana yang bukan milik kita (Kumpulan NSTP).


“Namun, jika kita melihat edaran akhbar ini mencapai sasarannya, pembinaan kilang percetakan memang perlu bagi memenuhi edarannya tanpa bergantung pada pihak lain,” katanya.


HM/MA mengesahkan kedudukannya sebagai akhbar nombor satu negara dengan masing-masing mencatatkan purata jualan 398,354 naskhah dan 457,331 naskhah dalam tempoh enam bulan daripada Januari hingga Jun 2010.


Laporan terkini dikeluarkan firma penyelidikan Audit Bureau Circulation (ABC) penghujung Disember lalu, menunjukkan jumlah purata jualan HM meningkat 39,678 naskhah daripada 358,676 naskhah bagi tempoh enam bulan sebelum itu dan MA pula mencatatkan kenaikan 51,825 naskhah daripada 405,506 naskhah sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/03/06
`