Selasa,23 September 2014

Latih tenaga profesional industri spa

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

“MASYARAKAT selama ini banyak disogok dengan paparan cerita ‘hitam’ mengenai khidmat di pusat urut menyebabkan pandangan terhadap spa turut terjejas.

“Bagaimanapun, persepsi berkenaan perlu diubah kerana spa terutama yang sudah berdaftar dengan Persatuan Spa Malaysia (Amspa) memiliki standard industri spa termasuk kebersihan dan perkhidmatan berkualiti selain menggunakan tenaga kerja yang mahir dan terlatih.

“Golongan yang menyalahgunakan spa untuk tujuan berseronok dan hiburan melampau sebenarnya mempersendakan bidang ini. Saya mahu mengubah persepsi kerjaya di bidang ini bukanlah sesuatu yang menjijikkan tetapi satu industri yang mampu memberi pulangan lumayan kepada negara dan pengusaha itu sendiri,” demikian kata Presiden Kedua Amspa, Rahatul Baney Mohd Amin.

Anak jati kelahiran Selangor itu mengakui, dulu apabila sebut saja mengenai spa, persepsi masyarakat memang lebih kepada pusat kecantikan yang menawarkan ‘khidmat’ tambahan seperti yang disediakan rumah urut.


Rahatul atau lebih mesra dengan panggilan Baney berkata, kini sudah tiba masa untuk bidang itu diangkat tahapnya sebaris dengan profesional lain dan diiktiraf masyarakat.


Misi wanita kecil molek berusia 39 tahun itu untuk mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang spa dan kecantikan semakin membuahkan hasil selepas dia dan Datin Ramona Suleiman menubuhkan Energy Academy Spa empat tahun lalu.

Energy Academy juga mendapat pengiktirafan yang pertama sebagai ‘Center of Excellence’ untuk Pusat Bertauliah Spa oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.

Dengan pengiktirafan dan sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan lain-lain agensi kerajaan, ia dilihat sebagai inisiatif untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir negara untuk bekerja secara profesional seterusnya memajukan industri spa ke peringkat antarabangsa.

Pengarah eksekutif yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Komunikasi dan Spa di Cyberview Lodge Resort & Spa itu berkata, masyarakat selama ini keliru dengan khidmat yang ditawarkan di spa dan masih ramai yang menyamakan ia dengan pusat urut haram yang beroperasi tanpa lesen atau seliaan.

Paparan cerita hitam mengenai spa membuatkan masyarakat memandang sebelah mata kerjaya di bidang berkenaan sedangkan ia sebenarnya mampu menjanjikan pulangan yang menguntungkan jika dilaksanakan dengan baik.

Baney yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan mengakui pihaknya mahu menggunakan landasan pendidikan bagi mengubah pandangan berkenaan dan alhamdulillah, hari ini kerjaya di bidang spa semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Sejak akademi yang mengendalikan kursus pengendalian spa secara profesional itu diwujudkan, dia melihat sendiri bagaimana ia perlahan-lahan mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang berkenaan.

“Tidak ada akademi menyediakan kursus lengkap yang dijalankan secara profesional diwujudkan di Malaysia sebelum ini. Ia menyebabkan banyak pusat urut dan spa kecantikan menggunakan pengurut atau ahli terapi tanpa kelayakan kerana hanya berpandukan kepada pengalaman.

“Justeru, penubuhan akademi ini memang tepat pada masanya kerana ia menyediakan pendidikan secara sistematik dan profesional kepada individu yang berminat untuk mengembangkan kerjaya menyertai bidang spa,” katanya.

Suatu ketika dulu, spa hanya dikaitkan untuk golongan mewah tetapi kini ia sudah menjadi keperluan untuk kekal sihat dan cantik.

Berbanding spa kecantikan biasa, spa terapeutik yang kini semakin banyak diusahakan juga mampu memberikan khidmat setanding fisioterapi di hospital atau klinik bagi meningkatkan tahap penyembuhan pesakit berkaitan saraf.

Baney berkata, ramai yang tidak mengetahui tekanan yang dialami sama ada membabitkan kerja atau masalah peribadi sebenarnya boleh mengundang bahaya.
Tekanan itu jika dibiarkan boleh menjejaskan kelancaran darah, sekali gus mengganggu kesihatan otot dan badan secara amnya.

“Di sini, peranan sentuhan membabitkan manusia amat penting kerana urutan yang diperoleh bukan sekadar mengurangkan kesakitan otot atau keletihan tetapi pada masa sama, dapat membantu memberi ketenangan dan meredakan tekanan.

“Itulah antara keajaiban urutan dan kami mahu masyarakat sedar selain pengambilan pil ubatan, kaedah holistik seperti urutan spa juga mampu membantu mengurangkan kesakitan,” katanya.

Sementara itu, Baney turut mengajak belia, ibu tunggal, penerima zakat dan penerima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berminat untuk mendalami bidang spa mengikuti kursus Terapi Urutan Spa di Energy Academy.

Pengambilan dibuka untuk latihan di Pusat Utama di Kuala Lumpur dan Langkawi bermula pada 10 September melalui laman web di www.energyacademy.com.my.

Akademi berkenaan menawarkan program Perantis Spa (Spa Apprenticeship Program) bagi kursus Terapi Urutan Spa, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, ia terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Jelasnya, kursus berkenaan mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia selain turut menawarkan dana (geran) kepada yang layak.

Dana daripada Kementerian Pelancongan Malaysia itu hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul layak untuk mengikuti kursus ditawarkan.

“Pemohon perlu menjalani sesi temu duga terlebih dulu bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan berminat untuk mendalami bidang spa saja diberikan tempat kerana kami tidak mahu dana disia-siakan,” katanya.

Tempoh kursus yang ditawarkan selama enam bulan meliputi tiga bulan intensif sepenuh masa di dalam kelas dan tiga bulan praktikal di tempat kerja.

Pelajar yang mengikuti latihan industri dijanjikan peluang pekerjaan sekurang-kurangnya selama 12 bulan kepada pelatih yang memenuhi kriteria yang diperlukan majikan.

Selain itu, pelajar yang ditauliahkan sebagai tenaga mahir juga berpeluang ditempatkan di organisasi spa dengan kerjasama Amspa.

“Pelatih yang sudah ditauliahkan boleh menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Anatomi & Fisiologi dan Diploma Urutan Badan dengan mengikuti Program CIBTAC.

“Program pelesenan antarabangsa ini dapat menaik taraf pusat perkhidmatan spa sedia ada khususnya kepada pelancong dari luar negara. Namun kursus ini bukan hanya terbuka kepada golongan belia saja kerana pemilik, pengurus atau ahli terapi spa yang mempunyai pengalaman tanpa sebarang sijil atau latihan formal sebelum ini juga digalakkan untuk menyertainya,” katanya.

Antara silibus paling menarik disediakan akademi itu ialah mempelajari anatomi manusia selain teknik pernafasan yang betul.

Baney mengakui, selepas mempelajari mengenai anatomi, kaedah mengurut akan menjadi lebih berkesan kerana pengurut atau ahli terapi mempunyai lebih pengetahuan mengenai otot, saraf dan tulang.

“Pengurut atau ahli terapi perlu mengetahui sedikit sebanyak maklumat berkaitan anatomi badan manusia kerana ia penting untuk diadaptasikan dengan teknik urutan yang dikehendaki pelanggan.

“Ia turut membantu pengurut atau ahli terapi untuk mengesyorkan teknik yang bersesuaian mengikut keperluan tubuh pelanggan.

“Selain itu, penggunaan istilah perubatan secara tidak langsung turut menyerlahkan pengetahuan ahli terapi dan tukang urut dan bukan hanya sekadar tahu mengurut saja seperti yang dilakukan tukang urut haram yang diambil dari luar,” katanya mengakhiri perbualan.



PROFIL:

NAMA: Rahatul Baney Mohd Amin
UMUR: 39 tahun
ASAL: Selangor

JAWATAN: Pengarah Eksekutif Energy Academy Spa, Presiden Kedua Amspa, Ahli Jawatankuasa People Pillar dan Asia Pacific Wellness Coalition, Ahli Prinstek (Persatuan Pemilik Institusi Pengajian Tinggi Swasta Sains Kesihatan dan Teknologi Malaysia)

Artikel ini disiarkan pada : 2011/09/08

Artikel Lain

`