Rabu,23 Julai 2014

Lebih ramai lelaki jadi keldai dadah

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus daripada kalangan rakyat Malaysia yang dikesan terbabit keldai dadah terdiri daripada lelaki.

Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Luar, Neow Choo Seong berkata, laporan dari Bahagian Konsular Wisma Putra itu membuktikan bilangan lelaki golongan tertinggi menjadi keldai dadah berbanding wanita iaitu 20 peratus.


“Bila bercakap mengenai keldai dadah, tentu kita terbayangkan wanita selalunya mangsa atas faktor terjerat dalam percintaan atau mengejar kemewahan.

“Tetapi, lelaki juga tidak terkecuali dan golongan ini dikesan paling ramai terbabit,” katanya selepas menyampaikan ucapan pada Seminar Kesedaran Rakyat mengenai Keldai Dadah (Sedarlah) di Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskills di sini, semalam. Neow berkata, kebanyakan lelaki bukan menjadi mangsa atau diperdaya mana-mana pihak kerana mereka tahu apa yang mereka bawa.


“Mereka mengakui melakukannya kerana terdesak dan kesempitan wang dan cara ini (menjadi keldai dadah) adalah antara tawaran terbaik yang mampu mengubah kehidupan mereka,” katanya.


Neow berkata, kebanyakan lelaki yang dikesan menjadi keldai dadah ditangkap secara berkumpulan kerana mereka sebelum itu mengagih-agihkan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan hukuman lebih berat dikenakan sekiranya ditangkap. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/30
`