Sabtu,30 Ogos 2014

Lelaki lebih afdal solat di masjid

Saya keliru mengenai kelebihan berjemaah. Mana yang lebih afdal bagi seorang suami, sama ada bersolat jemaah di masjid atau menjadi imam bagi anak dan isteri di rumah?

Hamba Allah
Johor



Solat adalah tiang agama dan tujuan solat untuk mengingatkan manusia mengenai hubungan manusia dengan Allah.


Manusia adalah hamba-Nya yang perlu sentiasa patuh kepada ajaran Allah dalam semua keadaan.


Rasulullah SAW sangat menitikberatkan solat sehingga baginda menasihatkan ibu bapa menyuruh anak mereka bersolat apabila mencapai usia tujuh tahun dan memukul kanak-kanak terbabit apabila ingkar suruhan solat ketika berusia 10 tahun.

Baginda SAW juga menitikberatkan mengenai solat berjemaah. Terdapat cerita dalam hadis bagaimana baginda menyatakan niatnya untuk membakar rumah penghuni yang tidak bersolat jemaah. Ini menunjukkan kepentingan solat berjemaah.

Solat berjemaah adalah syiar Islam yang perlu dilaksanakan setiap Muslim. Masyarakat Islam akan berjaya apabila mementingkan amalan solat dan ajaran Islam secara amnya. Ia juga menyatukan umat Islam dalam satu saf kepimpinan.

Dengan sebab itu, lebih afdal bagi lelaki untuk berjemaah di masjid berbanding di rumah.

Bagaimanapun, jika ada halangan atau tujuan tertentu seperti untuk mendidik anak dan isteri solat berjemaah masih boleh dilakukan di mana-mana termasuk di rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/23
`