Rabu,20 Ogos 2014

Lemas punca utama kematian kanak-kanak di Asia: UNICEF

KUALA LUMPUR: Laporan terkini menyebut sekalipun lemas menjadi pembunuh utama kanak-kanak di Asia, program yang sangat berkesan dan menepati kos bagi mengurangkan kejadian mati lemas tidak dilaksana dengan sempurna.

Kajian yang dilakukan Alliance for Safe Children (TASC) dengan kerjasama Pejabat Penyelidikan UNICEF, meneliti empat negara iaitu Bangladesh, Kemboja, Vietnam dan Thailand, serta dua wilayah di China iaitu Beijing dan Jiangxi.

Kajian mendapati di negara terbabit, satu daripada empat kematian kanak-kanak (berusia 1 hingga 4 tahun) disebabkan mati lemas -- lebih tinggi daripada himpunan kes kematian akibat campak, polio, batuk kokol, tetanus, difteria dan batuk kering.

Laporan juga menyebut kos mencegah kejadian mati lemas pada kalangan kanak-kanak juga tidaklah lebih mahal daripada kos mengawal penyakit berkenaan.


"Sudah sekian lama mati lemas menjadi pembunuh tersembunyi," kata Gordon Alexander, Pengarah Pejabat Penyelidikan UNICEF dalam kenyataan.


"Sejak lebih tiga dekad lalu, banyak negara mencapai kemajuan yang memberangsangkan dan berterusan dalam mengurangkan penyakit berjangkit. Bagaimanapun, tiada impak dicatatkan dalam kes mati lemas.

"Akibatnya mati lemas muncul sebagai penyebab utama kematian kanak-kanak selepas peringkat bayi (usia setahun) di negara yang dikaji bagi laporan ini. Namun mati lemas tidak berada dalam radar politik," kata Alexander.

Kenyataan itu yang tidak menyatakan bilangan kes, juga menyatakan majoriti kematian akibat lemas boleh dicegah. Kejadian lazim berlaku dalam jarak 20 meter dari rumah dan membabitkan kanak-kanak yang tidak diawasi merayau dan terjatuh ke dalam tali air berdekatan.

Laporan juga mengetengahkan bukti baru dalam program pencegahan yang dilaksana di Bangladesh, menunjukkan kadar mati lemas pada kalangan kanak-kanak yang menghadiri pusat asuhan di kampung dikurangkan lebih 80 peratus susulan pengawasan yang mencukupi.

Laporan juga menyebut kadar kematian kanak-kanak berusia empat tahun dan ke atas yang menyertai SwimSafe (program latihan berenang dan menyelamat) dikurangkan lebih 90 peratus. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/23
`