Jumaat,21 Februari 2014

MSU tawar 2,000 tempat

Oleh Ruhaiza Rusmin

Management & Science University (MSU) menawarkan 2,000 tempat untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi pelajaran Malaysia (STPM) melanjutkan pe-ngajian di universiti itu bagi sesi 2013 bermula April/Mei ini.

Tawaran itu turut dibuka untuk pelajar yang tamat pengajian tahap diploma dan matrikulasi di institusi pengajian tinggi (IPT) diiktiraf.

Ketua Eksekutif dan Naib Canselor MSU, Prof Datuk Dr Junainah Abd Hamid, berkata sehingga kini lebih 7,000 permohonan diterima dari kumpulan pelajar lepasan SPM, STPM serta pemegang diploma atau matrikulasi dari pelbagai institusi swasta dan awam negara.

“Bilangan ini menunjukkan satu peningkatan ketara berbanding 6,000 permohonan diterima tahun lalu.


“MSU semakin mendapat tempat dan kepercayaan kerana program pengajian ditawarkan mendapat kelulusan atau pengiktirafan Malaysia Qualification Agency (MQA) dan beberapa agensi lain kerajaan dan luar negara selain sesuai dengan keperluan industri untuk peluang kerjaya,” katanya.


MSU dikategorikani ‘Universiti Berstatus Cemerlang’ sebanyak dua kali oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pengiktirafan lain termasuklah akreditasi oleh Acrreditations Services for International Colleges (ASIC), United Kingdom dan The Alliance on Business Education and Scholarship for Tomorrow (ABEST21), Jepun.

Peluang pelajar melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa turut disediakan melalui Unit Pertukaran Pelajar Antarabangsa (ISEP) MSU.

Melalui unit ini, pelajar mempunyai pilihan lebih 40 universiti di seluruh dunia untuk menyambung pengajian.

Manakala permohonan dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, sains kesihatan, perakaunan, reka bentuk grafik, farmasi, optometri dan sains maklumat turut mendapat tempat tertinggi di kalangan pelajar.

MSU turut menawarkan empat program pengajian pra universiti melalui Centre for Foundations Studies iaitu Foundation in Information Technology & Engineering, Foundation in Business, Foundation in Law dan Foundation (Biological Science/ Health Science).

Pelajar yang berminat perlu memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan masuk ke program ditawarkan.

Sehingga kini, graduan MSU kekal menjadi pilihan utama di kalangan majikan dengan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 95 peratus.

MSU menawarkan pelbagai program pengajian peringkat diploma, sarjana muda dan pasca siswazah melalui fakulti dan pusat pengajiannya iaitu Faculty of Health & Life Sciences, Faculty of Business Management & Professional Studies, Faculty of Information Sciences & Engineering, International Medical School, School of Pharmacy, School of Education & Social Sciences, School of Hospitality & Creative Arts, School of Graduate Studies dan Graduate School of Management.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07
`