Khamis,31 Julai 2014

Makan-makan: Makanan laut halal

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD

DI sebalik bangunan dua tingkat berhampiran pusat membeli-belah Bangsar Village, Bangsar mungkin ramai tidak menyangka ia adalah restoran makanan laut terkenal sejak 1989.

Dikelilingi rimbunan pokok besar dan suasana redup menjadikan Bangsar Seafood Garden Restaurant kelihatan seperti kediaman biasa dengan kawasan luas.


Namun, suasana santai itulah yang menjadikan restoran berkenaan antara lokasi popular untuk menjamu selera, termasuk ‘makan besar’ sempena Tahun Baru Cina.

Terkenal dengan hidangan makanan laut Cina halal sejak 20 tahun lalu, restoran berkenaan menawarkan menu istimewa seperti Prosperity Grilled Fish iaitu ikan yang dibungkus bersama daun pisang serta dipanggang sempurna selain Steamed Pomfret Fish, masakan sihat berasaskan halia dan bawang putih rangup.


Restoran dua tingkat yang mampu memuatkan 1,000 tetamu dalam satu masa ini turut menyediakan hidangan tradisional berasaskan ayam seperti Braised Chicken with Sauteed Sea Cucumber and Mushrooms, di samping Stroganoff Chicken iaitu campuran sayuran seperti lobak merah, kacang, ubi kentang dan kubis bunga rekaan istimewa chef yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang masakan.


Menurut Chef Lee Kum Weng, meskipun hidangan sedikit cenderung kepada keturunan Cina, hakikatnya masyarakat Melayu turut menggemarinya disebabkan sesuai dengan cita rasa mereka.

“Sebagai contoh, menu Pan Seared Prawns with Dried Shrimps and Spring Onion sangat popular di kalangan pengunjung berbangsa Melayu.


“Ia hasil adunan cili kering, bawang merah dan beberapa rempah dengan rasa masam manis selain menggunakan udang segar bagi mengekalkan rasa dan bau wangi,” katanya.

Restoran itu beroperasi dua sesi iaitu jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang khusus untuk makan tengah hari dan 6 petang hingga 10 malam.


Pengunjung juga tidak perlu khuatir mengenai tempat letak kereta kerana Bangsar Seafood Garden Restaurant menyediakan tempat meletak kenderaan.


Penggemar hidangan makanan laut juga pasti tergoda dengan menu Sauteed Prawns with Grinded Black Bean Sauce yang memberi rasa pedas selain kelazatan kupang hijau digoreng bersama kisaran bawang putih yang sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Cina.


Bagi mengimbangi himpunan makanan laut, pengunjung berpeluang menikmati hidangan sayur menyihatkan, termasuk Stewed Sliced Abalone with Brocoli iaitu menu hijau dan bersifat anti kanser berasaskan brokoli, Treasure Bags iaitu campuran cendawan, lobak putih dan lobak merah yang diikat dalam tahu kering lembut.


Sebagai mengakhiri santapan, pengunjung disajikan pelbagai pencuci mulut seperti krim labu dingin, kacang hijau sejuk, lin chee kang dengan jeli mahupun kacang soya rebus kacang gingko.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/02/06
`