Sabtu,20 September 2014

Malang berganda si lumpuh

CHUKAI: “Sudahlah lumpuh, rumah pula ditenggelami air dan paling menyedihkan, 20 lembu yang diternak keluarga hilang dibawa arus deras, selain kebun sayur diusahakan turut musnah,” kata Baharom Muhamed, 34, antara mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor, dekat sini, kelmarin.

Dia yang lumpuh dari pinggang ke bawah berkata, air mula naik di kawasan rumahnya di Kampung Seberang Tayor Hulu, dekat sini, jam 3 pagi Selasa lalu, sebelum dia dan keluarga dipindahkan ke balai raya berhampiran.


“Tidak sampai dua jam kami berlindung di situ, saya, isteri dan lima anak dipindahkan pula ke Pusat Pemindahan Felda Seberang Tayor berikutan air semakin naik.

“Air sedalam 10 meter menenggelami rumah kami, menyebabkan semua 20 lembu yang diternak keluarga dihanyutkan arus deras.


“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting manakala barangan berharga, termasuk perabot, ditenggelami air.


“Kebun sayur diusahakan isteri juga musnah akibat banjir paling besar pernah melanda kampung ini,” katanya yang lumpuh akibat kemalangan sejak tiga tahun lalu.

Isterinya, Zaleha Ali, 39, berkata dia, ibu dan abang iparnya kerugian RM40,000 akibat kehilangan 20 lembu yang dihanyutkan arus deras.


“Kami memang orang susah, ditimpa pula musibah, jadi bertambah sukar kehidupan kami sekarang apabila hilang punca pendapatan sampingan.

“Maklumlah suami tidak boleh bekerja, jadi saya terpaksa mencari inisiatif lain dengan menternak dan bercucuk tanam.


“Kami bernasib baik kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan kepada suami sebanyak RM150 sebulan dan bantuan sebagai penjaga kepada saya sebanyak RM200 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30
`