Rabu,03 September 2014

Malaysia sia-siakan peluang benam Pakistan

JOHOR BAHARU: Malaysia memulakan kempen memburu tiket ke Piala Dunia 2014 dengan berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri 4-4 menentang Pakistan pada pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam semalam.

Malaysia di bawah bimbingan Paul Revington gagal menggunakan kesempatan mendahului 3-1 pada separuh masa untuk tunduk kepada asakan bertali arus oleh Pakistan pada babak kedua perlawanan.

Malaysia memulakan permainan dengan cemerlang serta melakukan kejutan seawal minit ketiga menerusi jaringan Muhammad Razie Abd Rahim, hasil pukulan sudut penalti.

Gol pembukaan tersebut telah mencetuskan semangat pemain untuk memburu jaringan dan selang empat minit kemudian, Muhammad Razie sekali bertindak cemerlang dengan jaringan kedua dengan menewaskan penjaga gol Pakistan Imran Shah.


Selepas ketinggalan 2-0, Pakistan kelihatan tertekan lalu melakukan beberapa pertukaran pemain tetapi keadaan tidak banyak berubah apabila Muhammad Marhan Mohd Jalil menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30
`