Khamis,28 Ogos 2014

Masa untuk berubah

Oleh Hartati Hassan Basri

HARI ini genap 22 hari kita berpuasa, bermakna tinggal seminggu lagi kita akan meraikan Aidilfitri. Bagaimanapun, teka-teki di kalangan orang industri filem mengenai siapakah yang bakal menduduki kerusi Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) masih belum ada jawapannya.

Beberapa calon disebut-sebut sebelum ini tetapi rasanya jawapan paling hampir mengenai calon yang akan menggantikan tempat KP sebelum ini, Mohd Mahyidin Mustakim ialah pengarah Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Nama itu disebut-sebut sejak setahun lalu apabila kontrak Mahyidin tamat tetapi apabila ura-ura itu mendapat maklum balas hebat daripada orang industri, perkara itu berlalu selama setahun dan khidmat Mahyidin disambung dan disambung lagi.

Kini, kerusi itu masih kosong sejak 1 Ogos lalu dan nama Ahmad Idham sekali lagi disebut-sebut bakal menduduki kerusi yang disifatkan agak panas itu.


Sebelum ini ada yang meragui kesediaan Ahmad Idham dengan pelbagai persoalan seperti sanggupkah Ahmad Idham melupakan tugas­nya sebagai pengarah dan melepaskan jawatannya dalam syarikatnya, Excellent Pictures kerana dia adalah pengarah paling berjaya ketika ini.


Filem-filem arahannya mendapat kutipan box-office dan aktif mengarah satu demi satu filem. Kalau bukan dengan Metrowealth Pictures (MIG), untuk filem terbitan syarikatnya. Sebagai KP Finas yang bertanggungjawab memajukan industri filem, sudah tentu tidak wajar untuknya membabitkan diri dalam penerbitan filem.

Kemungkinan juga Ahmad Idham diberi ruang untuk menyusun strategi selama setahun ini menyediakan bekalan sebelum dilantik secara rasmi sebagai KP. Ternyata dalam tempoh itu, Ahmad Idham sempat menyiapkan 8 Jam untuk MIG dan tiga filem sendiri, Hantu Bonceng, Jangan Pandang-pandang dan Gerimis Mengundang.

Filem 8 Jam bakal ditayangkan pada Aidilfitri ini. Rasanya-rasanya, Ahmad Idham bakal memulakan tugasnya di Finas selepas Aidilfitri, mungkin pertengahan September atau awal Oktober.

Dengarnya, ia sudah dipersetujui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Pelancongan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan hanya menunggu masa paling sesuai untuk memulakan tugas. Malah Ahmad Idham juga dikatakan sudah diperkenal­kan kepada kakitangan Finas.

Selain menyediakan bekalan filem, rasanya, saat ini paling sesuai untuknya hilang seketika dari dunia filem memandangkan filem arahannya akhir-akhir ini kurang mendapat sambutan. Bermula dengan Damping Malam diikuti Senjakala yang gagal mencatat kutipan membanggakan sebagaimana filem sebelum ini.

Ahmad Idham harus terima hakikat, kini zaman kebang­kitan pengarah muda yang sebelum ini dibimbingnya seperti Ismail Bob Hasim yang melakar kejayaan melalui Ngangkung dan Farid Kamil (Kongsi).

Kalangan pengarah pelapis kini mula menunjukkan taring mereka dan makin ramai yang sedar, kehadiran pengarah muda mampu memberi kelainan kepada industri filem berbanding sebelum ini dikuasai pengarah sama hingga berputar di kalangan orang yang sama.

Datuk Yusof Haslam nampaknya lebih selesa memberi peluang itu kepada anak-anaknya, Syamsul dan kini Syafiq, produksi lain juga mula memberi peluang kepada anak muda seperti MIG melalui Skim 10 Pengarah Muda, berjaya melahirkan Ismail Bob Hasim, Farid Kamil, Pierre Andre, Azhari Zain dan Hashim Rejab.

Begitu juga Primeworks Studios, mencuba bakat baru melalui Wan Hasliza untuk Penunggu Istana, Aidilfitri Mohd Yunus (Klip 3GP), Asrul Hisyam (Sesuatu Yang Tertinggal) dan terbaru, Faizul A Rashid melalui filem seram, Syaitan Nirrojim yang baru saja selesai penggambaran, minggu lalu.

Karya sulung Faizul ini dilihat agak berat dari judulnya dan mengangkat kisah perbuatan syirik dan khurafat dalam mengejar harta dan kekayaan, hingga saya tertarik untuk mengetahui siapa sebenarnya Faizul ini.

Difahamkan, Faizul lulusan Master Of Arts in Film dari Universiti Of Wales, United Kingdom dan mempunyai kepakaran dalam bidang pasca produksi, menghasilkan suntingan lebih 10 filem, antaranya Duyung, Skrip 7707, Otai dan Empat Madu, semuanya arahan A Razak Mohaideen.

Ini bermakna Faizul anak didik Razak dan pernah diberi peluang menjadi penolong pengarah untuk filem Ablasa dan Bujang Senang.

Ternyata Razak yang menjadi pensyarah filem di Universiti Tek­nologi Mara (UiTM), membimbing ramai anak muda apabila mengambil mereka sebagai penolong pengarah untuk filem arahannya tetapi sayang tiada yang berjuang bersama-sama Razak.

Selama ini, produksi milik Razak bersaudara, LineClear Pictures, tidak memberi peluang kepada mereka untuk bergelar pengarah hingga akhirnya disambar produksi lain seperti MIG, KRU Studis dan Primeworks.

Sudah tiba masanya untuk LineClear membuka pintu kepada muka baru untuk bergelar pengarah dan penulis skrip kerana selama ini dari produser, menulis skrip dan mengarah, semuanya dikuasai tiga bersaudara, Razak, Latiff dan Shukor. Kalau Yusof memberi peluang kepada anak-anaknya, mungkin Razak boleh beri peluang kepada anak-anak muridnya pula.

Artikel ini disiarkan pada : 2011/08/21
`