Isnin,22 September 2014

Masih boleh bersenam

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Setiap kali Ramadan ada satu pertanyaan yang sering ditanyakan rakan, tidakkah penat bersenam ketika berpuasa? Tidakkah nanti akan menyebabkan kita berasa lebih letih dan dahaga? Menahan dahaga apabila melakukan rutin biasa pun sudah dianggap dugaan yang cukup besar, inikan pula hendak bersenam!

Sejak beberapa tahun lalu penulis dan beberapa rakan rapat cuba menjadikan membudayakan amalan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari sepanjang Ramadan walaupun ramai beranggapan bulan mulia ini adalah masa untuk ‘berehat panjang’ daripada aktiviti kecergasan khususnya pada waktu siang.

Memang, Ramadan adalah bulan untuk ‘berhenti sekejap’ - bukan saja daripada makan dan minum, tetapi turut merangkumi pelbagai perkara termasuk mengawal rengekan nafsu berbelanja (sama ada dalam bab juadah berbuka puasa mahupun membeli pelbagai persiapan lebaran); namun bagi penulis ia tidak membabitkan soal senaman dan penjagaan kesihatan.

Menjawab kekhuatiran berasa terlalu penat seperti diajukan beberapa rakan, daripada pengalaman peribadi, didapati senaman sebenarnya memberi lebih tenaga kepada penulis untuk kekal cergas pada waktu petang dan ia penting khususnya sebagai persediaan melalui saat indah menunaikan solat terawih berjemaah.


Untuk mengelakkan rasa dahaga berlebihan, penulis memilih senaman yang ringan dan paling mudah dilakukan iaitu berjalan. Ada masa berjalan cepat, ada ketika melangkah santai tetapi lebih cepat berbanding kadar biasa dan sesekali diselitkan larian selama satu atau dua minit mengikut keupayaan. Cukuplah untuk meningkatkan kadar degupan jantung, mengeluarkan peluh dan menggerakkan otot yang berehat sepanjang hari.


Menurut Pengurus Kanan Kecergasan di Fitness First Malaysia, Lukman Jasril Hamzah, berpuasa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan atau memperlahankan perjalanan aktiviti harian kita. Malah gabungan puasa dan senaman dapat memberi kesan yang lebih baik dalam membantu meningkatkan tahap kesihatan.

Jika anda tahu caranya, aktiviti harian yang diselitkan dengan senaman akan berjalan lancar. Bagi membantu anda, Lukman memberikan beberapa panduan mudah untuk diikuti:


Bersahur

Ia sajian yang amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari sehinggalah sampai ke waktu berbuka. Oleh itu, pilihlah makanan yang seimbang dan mengenyangkan. Antara yang disarankan ialah makanan yang dicernakan perlahan-lahan seperti karbohidrat kompleks. Karbohidrat kompleks ini boleh didapati daripada bijian seperti barli, gandum, oat, millet, kekacang, makanan diperbuat menggunakan tepung mil penuh dan beras basmati. Karbohidrat kompleks membantu mengeluarkan tenaga secara perlahan dan mengekalkan stamina sepanjang hari kita berpuasa.


Pilih senaman intensiti rendah

Jika biasanya anda melakukan senaman intensiti tinggi, pada Ramadan ini beralihlah ke senaman yang lebih ringan. Atau boleh mencuba senaman lain yang mungkin dulu tidak termasuk dalam senarai pergerakan pilihan. Anda mungkin boleh memilih yoga - yang memberi kurang tekanan kepada badan dan membolehkan anda berasa lebih ‘rehat’ sepanjang sesi senaman.


Minum air secukupnya pada waktu malam dan ketika bersahur

Oleh kerana mahu bersenam ketika berpuasa, amat penting untuk memastikan kita mendapat air secukupnya pada waktu malam; apatah lagi dengan keadaan cuaca negara kita yang panas dan lembap. Bersenam dalam keadaan badan mengalami masalah kekurangan air boleh memudaratkan kesihatan. Cara lain untuk menangani perkara ini ialah bersenam pada waktu pagi atau malam.


Pilih waktu bersenam

Jika anda merancang untuk bersenam ketika berpuasa, cubalah bersenam beberapa jam selepas bersahur kerana ketika ini simpanan karbohidrat anda masih banyak. Namun janganlah bersenam terlalu awal, beri masa sekurang-kurangnya dua jam selepas makan untuk badan mencernakan makanan.


Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka

Diakui, memang sukar menahan godaan makanan yang enak ketika berbuka, apatah lagi jika ianya makanan kegemaran kita. Namun cubalah mendidik hati anda supaya sesuai dengan ibadat berpuasa yang mahukan kita belajar untuk bersederhana. Mulakan berbuka dengan juadah yang ringan dan berhenti rehat untuk solat Maghrib. Selepas solat bolehlah disambung dengan makanan yang lebih berat.

Pilihlah sajian yang seimbang dan paling penting janganlah makan sehingga terlalu kenyang kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan. Kata Lukman, dengan menjalani senaman dan menjaga pemakanan sepanjang Ramadan, kita boleh makan lebih sedikit sajian kegemaran pada Aidilfitri nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Artikel Lain

`