Sabtu,12 Julai 2014

Mat Despatch kaut RM373,000

Oleh Asmah Rusman

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket penipuan bank draf didalangi Mat Despatch atau pekerja penghantar surat membabitkan kerugian mencecah RM373,000.

Difahamkan, laporan polis dibuat seorang pegawai bank pada pada 12 April lalu yang mengesyaki setem hasil dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada dokumen berkenaan adalah palsu.


Bertindak atas maklumat berkenaan, 10 lelaki berusia 25 hingga 35 tahun ditahan antara 26 Mei hingga awal pagi semalam manakala tujuh lagi masih diburu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang bergiat aktif sejak setahun lalu itu didalangi pekerja bahagian Micro Credit Bank dan penghantar surat di sekitar Lembah Klang.


Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Damansara Damai milik seorang ahli sindiket berkenaan, polis menemui 41 keping cek, wang tunai RM81,000 dan 15 cop LHDN palsu.


Beliau berkata, Mat Despatch berkenaan akan menerima bayaran 20 hingga 30 peratus daripada nilai bank draf diserahkan kepada ahli sindiket terbabit.

Menurutnya, dokumen yang siap dicop setem hasil akan dihantar semula kepada bank yang membuat permohonan sebelum proses pinjaman diteruskan manakala bank draf yang diserahkan kepada sindiket pula akan dijual kepada pekerja penghantar surat dari pejabat guaman bagi proses dokumen lain.


“Mat Despatch yang bertugas di pejabat guaman perlu membeli bank draf berkenaan di bank yang sudah ditentukan pejabat masing-masing, namun bagi memudahkan tugas itu, mereka mendapatkannya daripada ahli sindiket.

“Lebih menguntungkan, mereka boleh membeli bank draf terbabit dengan harga yang jauh lebih murah iaitu 25 hingga 30 peratus diskaun daripada nilai asal,” katanya.


Katanya, setakat ini siasatan mendapati empat institusi bank menjadi mangsa penipuan sindiket berkenaan.


“Saya menyeru semua pengurusan institusi perbankan, khususnya yang menawarkan skim pinjaman peribadi supaya menyemak semula dokumen masing-masing bagi tempoh setahun kebelakangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/05
`