KOTA KINABALU: Maxis Bhd (Maxis), peneraju perkhidmatan komunikasi Malaysia akan membina lebih 180 tapak baru di Sabah bagi menyediakan liputan rangkaian yang lebih baik, tahun ini.
Ini adalah tambahan kepada sejumlah RM24 juta yang dibelanjakan bagi menambah baik rangkaian di negeri ini tahun lalu.
Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Matthew Willsher, berkata tahun ini saja, Maxis akan memperluas liputan 3G di bandar-bandar utama seperti Kota Kinabalu, Labuan dan Sandakan.
Tahun lalu, liputan diperluas ke kawasan terpencil seperti Keningau, Tenom, Sipitang, Kinabatangan, Sukau, Felda (Sahabat), Pitas, Kota Marudu dan Kota Belud untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
"Maxis juga mempertingkat liputan perkhidmatan di kawasan pedalaman seperti Nabawan, Sook dan Sapulut," katanya kepada pemberita pada satu majlis meraikan pihak media di sini, hari ini.
"Maxis akan terus memperkaya kehidupan pelanggannya dengan rangkaian yang lebih baik di Sabah. Dalam menyokong wawasan negara bagi merapatkan jurang digital di kalangan masyarakat, kami akan meningkatkan liputan bukan saja di bandar-bandar utama, malah juga di pekan-pekan dan kawasan terpencil di ladang-ladang sawit.
"Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah kerana banyak memberikan sokongan kepada program peluasan rangkaian kami dan kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri lagi bagi faedah masyarakat di sini," tegasnya.