Rabu,03 September 2014

Mayat terikat dalam belukar

Oleh WAN ASRUDI WAN HASAN

Ipoh: Seorang lelaki dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampakkan ke dalam belukar berhampiran padang permainan berhampiran Pos Slim, Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, di sini, petang kelmarin.

Mayat dipercayai warga tempatan dan dianggarkan berusia antara 35 hingga 45 tahun itu ditemui penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan berkenaan jam 12 tengah hari.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menemui mayat terbabit dalam keadaan lengkap berpakaian dan tangan terikat di belakang.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tangan terikat di belakang dan mulut dililit dengan pita pelekat berwarna hitam.


“Mangsa memakai baju-T berkolar jalur putih, hitam dan ungu, berseluar pendek paras lutut serta memakai kasut putih jenama Nike.


“Ada juga kesan tatu berbentuk kumbang dan bunga di keliling pinggang mayat terbabit,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di sebelah kanan kepala berdasarkan kecederaan dialami.


“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Jabatan Patologi menganggarkan mangsa meninggal dunia antara 12 hingga 36 jam,” katanya.


Dzuraidi berkata, hasil pemeriksaan pakar patologi turut menemui kecederaan di atas kepala dengan kesan lubang yang dalam dan lebar.


“Siasatan lanjut dijalankan dan buat masa ini identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tiada pengenalan diri ditemui.


“Hasil siasatan awal juga mendapati mangsa mungkin dibunuh di tempat lain sebelum dicampakkan ke kawasan itu berdasarkan keadaan tapak kasut mangsa yang masih bersih selain tiada kesan pergelutan,” katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sehubungan itu, orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03
`