Ahad,31 Ogos 2014

Meja unik pelengkap hidangan

Oleh Hartini Mohd Nawi

KELAINAN tata hias di ruang makan memperlihatkan kreativiti anda menzahirkan suasana tampak menarik.

Biasanya perkembangan idea penataan di meja makan selari dengan peredaran zaman bagi memenuhi keperluan masyarakat sekitarnya.

Berkongsi keunikan itu, Pameran Seni Penyediaan Meja Makan Antarabangsa di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini menarik perhatian ramai.

Pameran anjuran Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (Perwakilan) mempamerkan seni hiasan meja makan dari pelbagai negara termasuk China, Argentina, Korea, Pakistan, Palestin, Filipina, Itali dan Maldives.

Foto

KONGSI IDEA...reka letak elemen hiasan yang segar.

Foto

UNIK...seni tata hias Palestin diketengahkan.

Foto

RAIKAN TETAMU...tata hias lengkap meja makan Palestin.

Foto

MEMUKAU...gaya hiasan mempunyai simbolik tersendiri.

Foto

CERIA...sejarah dan perlambangan seni hiasan ditonjolkan.

Foto

SENI...keistimewaan produk dan material turut diketengahkan.

Foto

NILAI SENI...garapan kraftangan menyerikan ruang pameran Asean.


Presidennya, Puan Sri Jazliza Jalaludin berkata, orang ramai yang mengunjungi pameran itu dapat menimba ilmu mengenai budaya asing.


“Pengalaman ini memberi peluang pengunjung melihat lebih dekat cara penyediaan makanan dengan tata hias lengkap berdasarkan negara masing-masing,” katanya.

Setiap meja makan mewakili negara yang mengambil bahagian. Penataan meja makan Palestin umpamanya menarik perhatian apabila penggunaan rona gelap seperti biru dan hitam sebagai latar hiasan.

Tersusun indah sajian makanan negara itu bagaikan pengetahuan baru kepada pengunjung yang mula menggemari keunikannya.

Bagi Nora Ebaid, 18, pengalaman menjadi wakil di ruang pameran meja makan Palestin itu memberi peluang berkongsi pengetahuan dengan pengunjung.

“Sepanjang di sini, ramai yang berminat mengetahui jenis makanan dan cara penyediaan­nya di atas meja.

“Saya tidak melepaskan peluang menjenguk dekorasi meja makan negara lain yang mengambil bahagian,” katanya.

Bagi memberikan gambaran lebih jelas, sebuah meja khas turut diwujudkan bagi mempamerkan gaya hiasan lengkap suasana makan malam me­ngikut budaya negara itu.

Ruang meja tampil menarik dengan reka letak lampu hiasan di bahagian tengah, sementara set hidangan pula sempurna untuk meraikan kunjungan tetamu.

Seterusnya idea tata hias menarik meja makan Korea lengkap dengan makanan yang di masak seperti kimchi selain set pinggan mangkuk unik.

Tidak terkecuali penataan meja untuk sajian teh Cina biar pun kelihatan ringkas namun penuh simbolik.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/02
`