Jumaat,19 September 2014

Mengatasi masalah kulit kering

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

LEBIH dikenali sebagai ekzema, dermatitis atopik adalah keadaan kulit yang kronik sehingga menyebabkan kerengsaan kulit gatal dan boleh berlaku kepada sesiapa saja tidak mengira umur.

Di negara seperti Malaysia dan Singapura, hampir 20 peratus populasi mengalami dermatitis atopik dengan 90 peratus menghidapi gejala sebelum usia lima tahun lagi.

Menurut pakar dermatologi pediatrik, Dr Leong Kin Fon, gaya hidup dan keadaan persekitaran masa kini menjadikan kulit mudah rosak.

“Pendedahan secara berlebihan kepada penyaman udara dan cahaya matahari, mandi dengan air panas atau membersih menggunakan sabun boleh menyebabkan kulit menjadi kering serta memburukkan lagi keadaannya.


“Mereka yang mengalami kulit kering selalunya mempunyai bahagian yang kasar, kemerah-merahan dan kebiasaannya akan berasa gatal.


“Bahagian kulit yang biasa dijangkiti termasuk lengan, tangan, bahagian bawah kaki, abdomen dan kawasan yang selalu bergesel seperti buku lali atau tapak kaki.

“Dalam sesetengah kes, menggaru secara berterusan boleh menyebabkan isi kulit yang sensitif akan terdedah sekali gus memburukkan lagi kesannya,” katanya mengenai kesan kulit kering yang biasa dikaitkan dengan ekzema.

Bagi membantu mengurangkan gejala yang kurang menyenangkan dan tidak selesa dihidapi oleh penghidap masalah kulit, garis panduan daripada Institut Kesihatan dan Kecemerlangan Klinikal Kebangsaan (NICE) mengesyorkan pelembap sebagai asas rawatan untuk kulit kering dan dermatitis atopik.

Selain itu, masalah kulit kering juga perlu diberi perhatian dan ia boleh terjadi disebabkan lapisan atas kulit (epidermis) kekurangan air.

Kulit kering cenderung untuk mempengaruhi lelaki dan perempuan, namun individu yang lebih tua mudah menghidap masalah itu.

Sementara itu, menurut Pengurus Kanan Produk, Unit Dermatologi, Rangkaian OTC, Stiefel, Florence Chan, penghadang lipid kulit sentiasa mengalami kerosakan dan ia memerlukan bekalan secara berterusan bagi membantu mengekalkan kelembapan.

Ia juga bagi membantu memastikan perlindungan optimum terhadap bakteria dan ketidakselesaan yang mungkin merbahaya kepada tubuh badan jika dibiarkan.

Memahami keperluan lembapan kepada penghidap masalah itu, Stiefel memperkenalkan rangkaian Physiogel yang dihasilkan menggunakan teknologi Struktur Membran Derma (DMS).

“Ia mengandungi lipid semula jadi yang menyerupai blok binaan pada kulit bagi membantu memperbaiki kulit terhidrat.

“Tidak seperti kebanyakan pelembap konvensional yang menyediakan lembapan sementara, Physiogel membantu memperbaiki kulit kering.

“Ia juga membantu menghidrat semula kulit dengan mengekalkan lembapan sehingga tiga hari selain menyegarkan,” jelasnya ketika bengkel bersama media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rangkaian Physiogel digabungkan bersama ciri hipoalergenik, tanpa bau dan tidak mengandungi komedogenik. Ia membantu memberi penyelesaian untuk mereka yang mengalami masalah dermatitis atopik atau kulit kering.

Misalnya, ia membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kulit yang boleh mempengaruhi emosi kerana kekurangan keyakinan diri atau menunjukkan perangai dan masalah sikap disebabkan parut serta luka akibat menggaru secara berterusan.

Rangkaian Physiogel yang meliputi produk penjagaan untuk muka dan badan boleh didapati di semua farmasi utama di seluruh negara. Untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.physiogelrepair.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/05/16
`