Khamis,28 Ogos 2014

Minta Allah tetapkan hati

Oleh Nor Akmar Samudin

SEKEMBALINYA dari mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah pada pertengahan Mac lalu, Abby Abadi kini tampil dengan imej bertudung yang sememangnya sudah lama disimpan hasrat untuk berubah menjadi muslimah yang lebih baik.

Sesungguhnya dia tahu menutup aurat adalah wajib. Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu terburu-buru kerana mahu penghijrahannya itu kekal untuk selama-lamanya. Tidak henti dia mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang memudahkan urusannya ke Tanah Sudi dan sepanjang melakukan ibadah di sana.

“Sudah lama saya mahu bertudung tetapi saya perlu pastikan yang saya benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan itu kerana kita tidak boleh mempermainkan hukum Allah s.w.t. Saya juga tidak mahu bertudung kerana desakan orang lain, biarlah setiap perubahan itu dilakukan seikhlas hati saya.

“Sepanjang berada di Tanah Suci, saya melihat kebesaran Allah s.w.t. Dia Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-Nya. Apabila berada di sana, kita dituntut menjaga aurat tanpa menampakkan walau sehelai rambut pun dan saya sendiri berasa sangat selesa apabila bertudung. Kini kembali ke tanah air, saya rasa sangat bersalah jika tidak bertudung. Seolah-olah saya tidak bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan-Nya kepada saya selama ini.

Foto

Foto


“Pada hari kedua di Makkah, saya beritahu rakan sebilik yang saya mahu bertudung. Katanya, baguslah kerana ia perkara yang baik tetapi fikirlah betul-betul. Katanya lagi, saya perlu berubah kerana Allah. Setiap kali bersolat, saya berdoa agar Allah tetapkan hati dan iman saya serta jangan membolak-balikkan hati saya,” katanya.


Berada di rumah Allah juga mengingatkan saya kepada kematian yang akan datang pada bila-bila masa, tanpa mengira usia muda atau tua serta di mana kita berada. Kematian itu pasti tetapi sudahkah kita membuat persediaan untuk kembali kepada-Nya.

“Di tempat kita, saya selalu menziarahi orang yang meninggal dunia tetapi saya tidak pernah melakukan solat jenazah. Tetapi di Makkah setiap waktu solat saya dapat melakukan solat jenazah kerana setiap waktu ada kematian. Kalau bernasib baik kita boleh nampak orang mengusung jenazah lalu di tengah masjid.

“Bayangkanlah setiap hari saya melihat jenazah. Hati saya sangat terusik dengan rasa keinsafan menyelinap ke segenap ruang dalam tubuh ini. Janji Allah itu pasti bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Jadi kenapa kita perlu bertangguh untuk berubah ke jalan yang lebih baik.

“Belum pernah saya rasa sangat takut apabila teringatkan hari kematian tetapi kali ini perasaan saya amat berbeza. Tiba-tiba hati saya jadi gerun apatah lagi bila memikirkan sedikitnya amal ibadah yang dilakukan,” katanya.

Tambah Abby, kita perlu ingat lima perkara sebelum datangnya lima perkara.
Rebutlah peluang itu, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa lapang sebelum tiba masa sibuk, masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

“Ada kenalan saya yang sihat walafiat tiba-tiba terjatuh dan terus lumpuh. Saya mohon kepada-Nya supaya diberikan kesihatan yang baik supaya saya dapat melakukan ibadah tanpa halangan. Sejak balik umrah, saya berusaha menjaga solat. Tertinggal satu waktu saja, saya rasa sangat berdosa.

“Saya menginsafi diri kerana sebagai hamba-Nya yang kerdil, saya banyak melakukan kesilapan dan hati agak berdebar untuk pergi ke rumah-Nya.
Alhamdulillah, Allah permudahkan perjalanan saya ke sana.

“Di celah ribuan jemaah umrah, Allah menyediakan ‘lorong’ untuk saya mencium Hajarul Aswad, bukan sekali tetapi dua kali. Saya juga dapat mengerjakan tiga kali umrah, umrah ketiga saya buatkan untuk arwah ibu saudara saya. Rindunya hati untuk ke sana lagi. Kalau ada rezeki dan diizinkan oleh-Nya, setiap bulan saya mahu ke sana.

“Berada di sana, hati saya lapang dan tenang, tumpuan hanya kepada ibadah dengan melupakan segala yang mengganggu fikiran,” katanya.

Menurut Abby, sebelum dia ke Makkah, ada tawaran berlakon tetapi dia sudah nekad mahu segera ke rumah Allah selepas beberapa kali hasrat untuk ke sana tertangguh.

“Saya pergi ke sana atas rezeki yang Allah beri pada saya dan anak-anak. Oleh itu tiada sebab dan alasan untuk saya menolak ‘jemputan’ daripada-Nya. Saya yakin pada ketetapan Allah. Apabila saya balik saja, ada beberapa tawaran berlakon dan ada dua tiga butik tudung yang mahu mengambil saya menjadi duta produk mereka. Serahkan saja urusan hidup kita kepada-Nya, insya-Allah selamat.

“Buat masa ini saya belum memberikan kata putus, masih dalam proses perbincangan. Dalam soal berlakon pula, memang tiada masalah kerana daripada dulu saya selalu dapat watak yang memerlukan saya memakai tudung.

“Bahkan dalam drama Gerak Khas pun saya bertudung. Saya tidak perlu bimbang mengenai itu kerana kalau kita niat ikhlas kerana Allah, pasti Dia akan membantu,” katanya.

Hampir tiga tahun berpisah dengan pelakon Norman Hakim dan menjalin hubungan intim dengan pelakon baru, Zul Ariffin, Abby kembali bersendirian.

“Cukuplah sekali berkahwin dan selepas berpisah dengan Zul, saya juga tak mahu ada komitmen dengan sesiapa lagi. Bukan serik tetapi mulai hari ini saya perlu memberi ruang kepada diri sendiri dan bekerja keras mencari rezeki untuk saya serta anak-anak.

“Apa yang boleh saya lakukan sekarang, mohon yang terbaik daripada Allah. Soal jodoh juga saya serahkan kepada-Nya. Andai ada jodoh buat kali kedua, saya berharap dapat suami yang baik, dapat menjaga saya serta menyayangi anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/05
`