Sabtu,30 Ogos 2014

Minta rakan usah gentar

Tawau: “Saya mahu ingatkan rakan lain supaya jangan gentar kerana polis sememangnya setiap saat ditugaskan menjaga keselamatan rakyat dan negara,” kata Inspektor Mohd Hasnal Jamil yang terselamat, tetapi cedera dalam serangan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, pada 2 Mac lalu.

Dalam insiden berkenaan, Hasnal yang cedera di kepala, tangan dan badan dikejarkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.


Pegawai Cawangan Khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu berkata demikian sebelum diterbangkan kembali ke ibu negara bagi menjalani rawatan lanjut di hospital di sana.

Mohd Hasnal berkata, rakan seperjuangannya yang lain perlu berkeyakinan tinggi dan tidak gentar dengan dugaan disebabkan insiden menimpa dirinya dan rakan mereka yang lain.


“Kita tidak seharusnya menyerah kalah, tetapi perlu mengekalkan semangat tinggi mempertahankan kedaulatan negara. “Apa yang terjadi sebelum ini tidak melunturkan semangat saya untuk terus berjuang dan berbakti kepada negara,” katanya ketika ditemui di Hospital Besar Tawau, di sini, semalam.


Hasnal yang sudah berkhidmat 10 tahun dalam pasukan keselamatan itu mengakui tidak gentar menghadapi dugaan pada masa akan datang namun mengakui sedikit fobia dengan insiden yang menimpanya itu.

“Berdepan risiko ketika menjalankan tugas sudah menjadi asam garam dalam kehidupan seorang pasukan keselamatan,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua setengah tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07
`