Rabu,23 Julai 2014

Moden, ringkas, harga patut

Dekorasi butik menggunakan perhiasan barang terbuang seperti surat khabar yang digumpal dan disusun di sepanjang dinding serta rona menyerlah menjadikan konsep butik House of Allya Mysara lain daripada yang lain.

Ia bukan saja menggambarkan ke-sungguhan dua pemiliknya, Kimi Iskandar dan Yusri Ismail dalam memajukan perniagaan pakaian tetapi juga kreativiti mereka menghasilkan reka bentuk berbeza.

Hampir dua tahun bertapak dalam industri fesyen, kini mereka sudah mampu tersenyum lega dengan pembukaan butik House of Allya Mysara di Shah Alam, Selangor.

Majlis pembukaan berkonsepkan Thumbelina in Fairyland itu sebagai pernyataan rasa gembira dengan pembukaan butik yang menjadi peranca-ngan mereka sejak dulu lagi.


Turut diadakan, peragaan fesyen terkini dengan memperkenalkan koleksi casualista by Allyamysara, glamorous dan kawen Mysara menggunakan selendang Mysara yang dianggap sebagai tanda pengenalan serta kebangkitan jenama ini dalam bidang rekaan.


Menurut Kimi, setiap padanan mempunyai cerita tersendiri sebagai melengkapi imaginasi dalam bidang fesyen. Jika sebelum ini Allya Mysara dikenali menerusi padanan kasual dan formal Muslimah tetapi kini jenama ini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan busana perkahwinan berkonsepkan moden dan ringkas pada harga berpatutan.

“Sejak dulu Allya Mysara dikenali bukan saja disebabkan rekaan berkualiti, moden dan ringkas tetapi juga kerana memenuhi cita rasa semua golongan. Lebih penting harga ditawarkan mampu dimiliki semua,” katanya.

Setiap padanan menggunakan fabrik berbeza. Untuk koleksi casualista by Allyamysara, fabrik kapas, lycra dan sifon digunakan kerana dekat dengan hati wanita.

Himpunan glamorous dengan gaun labuh, baju kurung moden dan peplum menggunakan rona memikat terang bersama fabrik satin dan sifon sebagai lambang kemewahan dan kemodenan manakala kawen Mysara direka dengan potongan memikat menerusi gaun labuh dan baju kurung moden diberi perhiasan manik pada bahagian tertentu sebagai gambaran wanita masa kini yang yakin dan bercita rasa tinggi.

Majlis pelancaran disempurnakan pemilik Hajaba, Mona Din serta dihadiri ramai tetamu termasuk selebriti Yatt Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16
`